Anda di sini

Francis kesali penderitaan pendatang

Advertisement
 Francis mengetuai perarakan jamung Via Crucis di Colosseum, Rom kelmarin. — Gambar AFP
PENYUCIAN HATI: Francis mengetuai perarakan jamung Via Crucis di Colosseum, Rom kelmarin. — Gambar AFP

Minggu Suci Kristian turut peringati mangsa perkauman dan penganut tertindas

ROM: Pope Francis menyesali penderitaan pendatang, mangsa perkauman dan penganut Kristian yang tertindas ketika kira-kira 20,000 berhimpun di Colosseum, Rom, untuk mendengar doanya sempena Jumaat Agung.

 Francis merujuk kepada bencana pendatang di Laut Mediterranean yang dibimbangi sudah mengorbankan sekurangkurangnya 590 nyawa tahun ini.

 Paus itu juga bercakap tentang skandal pencabulan kanak-kanak yang menggegarkan gereja Katolik sejak beberapa tahun lalu, menyuarakan rasa malu apabila uskup, paderi dan lain-lain mengaib dan ‘menyakitkan’ gereja.

 Minggu Suci Paska yang memperingati hari-hari terakhir Jesus Kristus bermula dengan pertumpahan darah pada Ahad minggu lepas apabila serangan yang diakui kumpulan Islamic State (IS) memusnahkan dua gereja Koptik Katolik Mesir yang mengorbankan 45 orang.

 Masyarakat Koptik di Mesir tetap menyambut Jumaat Agung dengan doa dan puasa selepas digegarkan oleh serangan bom.

 Di sebalik kebimbangan keselamatan, Francis merancang untuk meneruskan lawatan ke negara itu hujung bulan ini.

 Di Rom, kawalan keselamatan ketat sepanjang upacara malam berkenaan, dengan sekatan jalan dan alat pengesan logam apabila penganut berhimpun untuk mendengar pemimpin 1.3 bilion penganut Katolik di seluruh dunia.

 Tiga ribu anggota polis dikerahkan untuk melindungi Colosseum.

 Pada tahun ini sepasang suami isteri dari Mesir dan tiga anak perempuan mereka yang kecil membawa salib besar dalam sebahagian perarakan Via Crucis yang mengelilingi Colosseum dan kemudian ke luar di kalangan hadirin.

 Penganut dari Portugal dan Colombia, dua negara yang dijangka dilawati Francis masing-masing pada Mei dan September, turut menyertai perarakan, dan bersilih ganti membawa salib bersama dua penganut Kristian dari China.

 Sekumpulan kecil penganut membawa salib di antara 14 stesen yang memperingati detik sebelum penyaliban Jesus Kristus sewaktu perarakan Via Crucis.

 Francis, 80, duduk di bawah kanopi merah tradisional bersebelahan salib besar yang diterangi lampu suluh untuk majlis itu, yang buat pertama kalinya turut memuatkan meditasi yang ditulis wanita sekular, Anne- Marie Pelletier, profesor dari Perancis.

 Jumaat Agung merupakan hari kedua di antara empat hari penting dalam kalendar Kristian bermula dengan Khamis Suci (Maundy Thursday) dan memuncak dengan Ahad Paska, yang meraikan kebangkitan Jesus Kristus.

 Francis semalam menyertai Vigil Paska pada waktu malam di Basilika St Peter, sebelum merayakan Misa Paska hari ini dan menyampaikan pemberkatan tradisional ‘Urbi et Orbi’. — AFP

Advertisement