Anda di sini

Tiga pemancing dilaporkan hilang sejak Khamis

Advertisement

KOTA KINABALU: Tiga pemancing dilaporkan hilang selepas keluar memancing di sekitar perairan Pulau Sepanggar, Pulau Gaya dan Pulau Mengalum, dekat sini, kelmarin. 

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, dalam kenyataan semalam, berkata tiga lelaki itu dilaporkan keluar memancing pada jam 7 pagi dengan menaiki sebuah bot gentian kaca berwarna putih berukuran kira-kira lima meter. 

Beliau berkata tiga lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Wapie Said, 34, Amsiran Mijan, 55, dan Malik Awang, 40, sepatutnya pulang pada jam 9 malam kelmarin bagaimanapun sehingga pagi semalam kesemua mereka masih belum pulang. 

Anggota keluarga mangsa membuat laporan polis awal pagi semalam bagi mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesan mereka, selepas gagal menghubungi kesemua pemancing berkenaan. 

Mohd Zubil berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat mangsa pada jam 10 pagi sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu dengan menugaskan aset bot Maritim Malaysia Pengawal 20. 

“Semua agensi yang terlibat juga telah dimaklumkan untuk memberi bantuan sekiranya diperlukan. Aset lain yang terlibat dalam operasi ini adalah RH52 daripada Pasukan Polis Marin dan bot milik orang kampung,” katanya. 

Beliau berkata Pasukan Gerakan Udara turut membantu operasi itu menggunakan pesawat Cessna Caravan pada jam 2.30 petang semalam. — Bernama 

Advertisement