Anda di sini

KFC beri sumbangan RM80,000 kepada lapan badan kebajikan

Advertisement
 Semua wakil setiap badan kebajikan yang hadir merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur.
PRIHATIN: Semua wakil setiap badan kebajikan yang hadir merakam gambar kenangan bersama pihak penganjur.

KOTA KINABALU: KFC Malaysia memberikan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada lapan badan kebajikan yang terpilih di Sabah. 

Pengurus Besar Kanan KFC Sabah dan Sarawak Lo Yu Foh berkata, sumbangan itu adalah inisiatif Program Pengagihan Dana Add Hope yang merupakan sebahagian daripada 40 badan kebajikan terpilih di seluruh Malaysia. 

“Penerima dana terdiri daripada Rumah Anak Kesayangan, Rumah Anak Yatim As-Sakinah, Rumah Putera Harapan, Persatuan Hospis Sandakan, Holy Family Residence For Senior Citizen, Rumah Kanak-Kanak Don Bosco dan Persatuan Orang Pekak Tawau. 

“Setiap rumah menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM10,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengagihan Dana Add Hope, di sini, kelmarin. 

Menurut Lo KFC Malaysia berbangga dan berbesar hati diberikan peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. 

Katanya, sifat pemurah yang ditunjukkan oleh pelanggan KFC juga membolehkan mereka mengutip sejumlah dana yang kemudian diagihkan kepada individu yang memerlukan di seluruh Malaysia. 

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada para pelanggan kami di atas sumbangan ikhlas mereka kepada dana Add Hope ini,” katanya. 

Sementara itu, Warden Don Bosco Children Home Francis Benjamin mengucapkan syukur di atas sumbangan yang diberikan oleh KFC Malaysia. 

Katanya, bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban pusat berkenaan untuk menjalani aktiviti harian memandangkan pihaknya bergantung harap kepada sumbangan orang ramai. 

“Rumah kebajikan yang ditubuhkan sejak 1966 ini mempunyai 66 penghuni yang amat memerlukan bantuan daripada orang ramai selain persatuan atau syarikat,” jelasnya. 

Pengurus Rumah Amal Kasih Jamrie berkata, sumbangan berkenaan akan digunakan bagi membeli van untuk kegunaan penghuni pusat kebajikan itu. 

“Dengan adanya sumbangan ini, maka harapan dan impian anak-anak yang menghuni Rumah Amal Kasih untuk memiliki van sendiri pulang balik dari sekolah akhirnya tercapai. 

“Pusat yang beroperasi sejak 2014 ini kini mempunyai 23 penghuni yang memerlukan bantuan daripada mana-mana syarikat ataupun orang perseorangan yang ikhlas memberikan sumbangan,” katanya. 

Terdahulu, Add Hope adalah inisiatif tahunan KFC Malaysia bagi membantu membasmi isu kebuluran di dunia yang dilancarkan sejak Mei tahun lalu dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik bagi mengutip dana. 

Kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu menyediakan tabung derma di setiap cawangan restoran KFC seluruh negara. 

Program Pengagihan Dana Add Hope akan terus memperluaskan usahanya dengan melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai penggerak bagi kerja pengagihan bantuan makanan. 

Advertisement