Anda di sini

Bahan bantu mengajar tingkat kemahiran dan kefahaman pelajar

Advertisement
 Najamuddin (dua kanan) diiringi oleh para guru besar cemerlang, penolong kanan dan Pensyarah Bimbingan Kaunseling Dr Mohd Hanip Hassan (kiri).
TINGKAT KEMAHIRAN: Najamuddin (dua kanan) diiringi oleh para guru besar cemerlang, penolong kanan dan Pensyarah Bimbingan Kaunseling Dr Mohd Hanip Hassan (kiri).

TAWAU: Bahan bantu mengajar berperanan untuk membantu para guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan kefahaman yang berkesan serta dapat menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran yang diajarkan di dalam kelas. 

Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau Dr Najamuddin Bachora berkata, bahan bantu mengajar dapat membantu seseorang guru dalam proses pengajaran. 

“Bahan bantu mengajar ini tidak terhad kepada buku teks, papan tulis dan gambar sahaja tetapi juga merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang dapat dilihat, didengar, dipegang, dibaca, dikisahkan, dirasai, dihidu, digunakan dan sebagainya. 

“Bahan mengajar merupakan apa-apa saja yang dialami oleh pelajar,” katanya ketika merasmikan Pameran Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang dihasilkan oleh para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidkan (PISMP) dari unit Pendidikan Pemulihan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Bimbingan Kaunseling di ruang legar institut berkenaan. 

Pameran bahan bantu mengajar merupakan anjuran Jabatan Ilmu Pendidikan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau di penyelarasan program pameran. 

Najamuddin berkata, peranan guru dalam menentukan bahan bantu pengajaran dan pembelajaran sangat penting. 

Ia kerana, alat-alat itu merupakan media yang mampu mewujudkan rangsangan dan yang kemudiannya akan bertindak memperkembangkan kecerdasan serta pengalaman pelajar. 

“Dalam konteks guru pelatih, Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau memberi penekanan kepada mereka untuk membina bahan bantu mengajar dan yang akan digunakan semasa menjalani latihan mengajar,” katanya. 

Katanya guru pelatih telah didedahkan kepada pelbagai kaedah, strategi serta teknik mengajar yang memusatkan pelajar, sumber pengajaran pembelajaran dan juga bagaimana menggunakan bahan bantu mengajar dengan berkesan. 

“Seseorang guru pelatih juga harus mahir mengenal pasti, membuat keputusan untuk memilih bahan bantu mengajar yang paling berkesan dan mengoptimumkan sumber untuk mencapai objektif pengajaran yang dirancang sepanjang latihan,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau Badrulhisahm Mokhtar berkata pameran bahan bantu mengajar oleh guru-guru pelatih sebagai usaha untuk membantu mereka memperolehi pengalaman agar dapat diterjemahkan dalam proses dan pembelajaran di sekolah pada masa akan datang. 

Katanya, ia penting agar para guru pelatih dapat menggabungkan isi kandungan pelajaran dengan pengalaman hidup serta dapat menyediakan bahan bantu mengajar dalam bidang berkaitan. 

Menurut beliau bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam menentukan kejayaan program pembelajaran, menimbulkan rangsangan keinginan pelajar untuk mengetahui sesuatu dan untuk menjadikan pembelajaran baik dan lebih menarik. 

“Pameran seperti ini sebagai satu penghormatan yang diberikan kepada guru-guru pelatih yang telah bersusah payah membina bahan bantu mengajar sesuai dengan subjek yang mereka pelajari dari para pensyarah di dalam kelas,” katanya. 

Sementara itu, Setiausaha Pameran Hii Sieng Ting yang merupakan pelajar PISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak berkata pameran bahan bantu mengajar dapat mendidik dan melahirkan semangat para guru pelajar pelatih untuk terus bergiat mencipta bahan bantu mengajar untuk digunakan di dalam bilik darjah ketika melaksanakan latihan mengajar dan menjadi guru kelak. 

“Apa yang jelas, ia dapat meningkatkan ilmu pengetahuan para guru pelatih dari aspek kreativiti, inovasi dan rasional dalam menjana idea dalam membina serta merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar dengan mempraktikkan bahan bantu mengajar,” katanya. 

Dalam pada itu, Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah Batu 22 Balung Awangku Tahir Pangeran Assim melahirkan rasa bangga di atas kejayaan pihak Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau menganjurkan pameran bahan bantu mengajar. 

Katanya pameran seperti itu memberi banyak idea kepada guru-guru untuk membina dan mengaplikasikan bahan bantu mengajar di sekolah masing-masing dalam usaha untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran, sekaligus boleh meningkatkan prestasi keputusan mata pelajaran. 

Advertisement