Anda di sini

Malaysia tingkatkan persaingan melalui produk bernilai tinggi dan kompleks

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang bergerak ke arah mempelbagaikan strategi bagi meningkatkan daya saing dalam jangka panjang, dengan memberi penekanan ke atas produk-produk bernilai tinggi dan kompleks.

 Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Azman Mahmud, berkata sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, Malaysia menggalakkan penggunaan robotik kepersisan dan automasi.

 “Kami mencari pelaburan berteknologi tinggi yang boleh menyumbang kepada ekosistem industri tempatan khususnya dalam subsektor pemangkin 3+2 seperti elektrik & elektronik, peralatan, jentera, bahan kimia, peranti perubatan dan aeroangkasa.

 “Memandangkan sektor pembuatan turut maju seiring dengan kemunculan teknologi terkini serta permintaan pelanggan, kami terus menggalakkan syarikat sedia ada untuk meningkat dan mengikuti perkembangan trend serta inovasi bagi kekal relevan,” katanya dalam satu kenyataan bersama MIDA dan SEMI.

 SEMI adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang ditumpukan bagi membantu pembangunan dan pertumbuhan mikroelektronik, semikonduktor dan industri solar.

 Katanya, SEMICON Asia Tenggara 2017 (SEMICON SEA 2017) adalah satu platform yang baik untuk merangsang perbincangan dan mewujudkan hubungan strategik perniagaan dan pertumbuhan jangka panjang dalam sektor pembuatan.

 “SEMICON SEA 2017, yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 25-27 April ini, dijangka dapat menarik seramai 7,500 pengunjung perdagangan,” katanya.

 Presiden Asia Tenggara SEMI, Ng Kai Fai, berkata SEMICON menyambung seruan MIDA untuk terus memperluaskan pengetahuan dalam sektor pembuatan bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan industri dalam segmen ini.

 “SEMICON SEA 2017 adalah tepat pada masanya dalam memperkenalkan peserta, teknologi industri yang relevan, bermula daripada pembuatan cip sehingga kepada trend dan integrasi sistem yang memacu pelabur dan pertumbuhan dalam semua sektor di rantau ini,” katanya.

 Acara tersebut dalam tahun ini, menyaksikan peningkatan hampir 15 peratus pempamer dengan kira-kira 300 gerai pameran daripada lebih 200 syarikat. — Bernama

Advertisement