Anda di sini

Letupan bas Dortmund jadi fokus siasatan

Advertisement

Polis kaji penglibatan suspek ‘Islamis’, perlawanan Liga Juara-Juara UEFA diteruskan

 Polis berkawal di luar stadium semasa perlawanan suku akhir pusingan pertama Liga Juara-Juara UEFA antara                pasukan bola sepak BVB Borussia Dortmund dan Monaco di Dortmund, barat Jerman, kelmarin. — Gambar AFP
BERJAGA-JAGA: Polis berkawal di luar stadium semasa perlawanan suku akhir pusingan pertama Liga Juara-Juara UEFA antara pasukan bola sepak BVB Borussia Dortmund dan Monaco di Dortmund, barat Jerman, kelmarin. — Gambar AFP

DORTMUND: Penyiasat Jerman semalam menumpukan siasatan mereka ke atas tiga letupan yang menggegarkan bas pasukan bola sepak Borussia Dortmund kepada seorang suspek “Islamis” tunggal dalam tahanan, selepas pasukan itu kembali ke padang tanpa rasa gentar.

Letupan tepi jalan itu men-cederakan pemain antarabangsa Sepanyol di Dortmund, Marc Bartra, dan seorang anggota polis, selepas bom yang “mengandungi serpihan logam” meletup beberapa minit selepas bas pasukan berlepas untuk mengadakan perlawanan menentang Monaco dalam Liga Juara-Juara UEFA pada Selasa malam lepas.

Ketika penyokong kedua-dua pasukan menyuarakan solidariti dalam stadium yang sesak, perlawanan suku akhir pusingan pertama diadakan di bandar raya barat Jerman itu 24 jam kemudian, dan Monaco mencatatkan kemenangan 3-2.

Penyiasat mengejar kemungkinan bagi “kaitan pengganas” dengan letupan itu, selepas tiga pucuk surat yang sama dijumpai di tempat kejadian.

Latar belakang Islamis kelihatan tidak mustahil,” kata jurucakap pejabat pendakwa raya persekutuan Frauke Koehler, dan memberitahu surat itu menuntut agar Jerman mengundurkan pengerahan misi pengawasan Tornado dalam perikatan antarabangsa anti-IS selain menutup pangkalan udara Amerika Syarikat di bandar Ramstein, barat Jerman.

Siasatan tertumpu kepada dua suspek “daripada spektrum Islamis” katanya, dan menambah kedua-dua rumah mereka telah digeledah dan seorang lelaki ditahan

Penyiasat ada masa se-hingga lewat semalam untuk membina kes yang mencukupi terhadapnya bagi waran tangkap, atau melepaskannya.

Media tempatan mengenal pasti suspek sebagai seorang warga Jerman berusia 28 tahun dan seorang warga Iraq berusia 25 tahun, dan warga Iraq tersebut berada dalam tahanan.

Sekurang-kurangnya seorang daripada kedua-duanya dipercayai berada tidak jauh dari lokasi kejadian ketika letupan berlaku, kata mereka, yang memetik sumber ke-selamatan tidak disebut nama yang tetap memberi nasihat untuk berhati-hati apabila ia mahu mengaitkan individu terbabit dengan serangan itu.

Canselor Angela Merkel kelmarin berkata beliau terkejut dengan “perbuatan yang menjijikkan itu”, yang digambarkan oleh ketua polis bandar raya Dortmund, Gregor Lange, sebagai “serangan bersasaran” ke atas pasukan berkenaan yang juga dikenali sebagai BVB.

Jerman berada dalam ke-adaan berjaga-jaga sejak beberapa serangan pelampau berlaku pada tahun lepas, termasuk serangan pasar Krismas di Berlin.

Bahan letupan pada Selasa lepas meletup beberapa minit selepas bas pasukan Dortmund meninggalkan hotel skuad.

Bartra menjalani pembedahan ke atas pergelangan tangan yang patah setelah dia terkena serpihan kaca, kata presiden Dortmund, Reinhard Rauball.

Seorang anggota polis, yang menunggang motosikal yang mengiringi bas pasukan, mengalami trauma daripada bunyi letupan, yang memecah tingkap bas.

Bas memasuki jalan utama apabila bunyi yang amat kuat kedengaran – satu letupan besar,” kata penjaga gol Dortmund dari Switzerland, Roman Burki, kepada media Swiss.

Selepas letupan itu, semua kami membongkok dalam bas. Kami tidak tahu sama ada letupan lain akan berlaku atau tidak.”

Beberapa pemain mere-bahkan badan mereka di atas lantai, katanya.

Ketika skuad bersiap sedia untuk sepak mula kelmarin, ketua eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watze, berjanji pasukannya “akan bermain bukan sahaja untuk diri kami sendiri pada hari ini. Kami akan bermain untuk semua orang, kami mahu menunjukkan bahawa keganasan dan kebencian tidak dapat menentukan tindakan kami”.

Sebelum perlawanan bermula, penyokong melaung “Bartra! Bartra!” untuk memberi sokongan kepada pemain pertahanan yang cedera.

Menteri Dalam Negeri Thomas de Maiziere, yang menonton perlawanan Dortmund, berkata “tarikan” yang menyelubungi bola sepak mendorong pengganas untuk cuba merosakkannya.

Itulah sebabnya kenapa ia adalah betul bagi kita untuk berusaha sedaya upaya melindunginya, dan tidak membiarkan penjenayah mencuri tarikan itu dari kita.”

Namun bekas pemain antarabangsa Jerman, Lothar Matthaeus, berkata ia adalah “tidak bertanggungjawab” untuk memaksa pemain meneruskan perlawanan sejurus selepas serangan berlaku.

Daripada apa yang saya dengar daripada sumber pasukan, ramai pemain tidak mahu bermain pada hari ini. Namun UEFA memberi tekanan dan ahli politik menggesa Borussia Dortmund untuk menentang keganasan,” katanya kepada saluran berita Sky, yang merujuk kepada persekutuan bola sepak Eropah. — AFP

Advertisement