Anda di sini

Kes basikal: Pendakwa minta tangguh laporan belum siap

Advertisement
 Sam bersama peguamnya keluar dari Mahkamah Trafik Johor Bahru selepas kesnya memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, Februari lalu, ditangguh pada 17 Mei ini untuk sebutan semula kes. — Gambar Bernama
DITANGGUH: Sam bersama peguamnya keluar dari Mahkamah Trafik Johor Bahru selepas kesnya memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, Februari lalu, ditangguh pada 17 Mei ini untuk sebutan semula kes. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Trafik di sini semalam menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula bagi pengurusan kes membabitkan seorang jurujual wanita didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, 18 Feb lepas.

Majistret Salina Omar menetapkan tarikh tersebut bagi serahan dokumen selepas menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd Nasir berikutan laporan forensik yang belum siap sepenuhnya.

Dalam prosiding semalam, Muhammad memohon mahkamah tempoh empat minggu lagi untuk serahan dokumen memandangkan terdapat beberapa lagi dokumen belum diperolehi pihak pendakwaan termasuk laporan forensik.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili tertuduh, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon, bersetuju.

Terdahulu, tertuduh, Sam Ke Ting, 22, tiba di mahkamah berkenaan kira-kira jam 9 pagi semalam untuk sebutan semula kes bagi pengurusan kes yang ditetapkan semalam.

Pada 28 Mac lalu, wanita itu dihadapkan ke mahkamah sama dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja lelaki, pada 3.20 pagi, di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, 18 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement