Anda di sini

Jamal, sembilan pengikutnya didakwa guna kekerasan di Ampang Point

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pen-gerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan sembilan pengikutnya dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas tuduhan menggunakan kekerasan dalam satu kejadian di Ampang Point, 13 Nov tahun lepas.

Jamal, 47, yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar bersama Reza Jamin, 37, Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 32, Hasannen Zikri Harizan, 24, Mohd Faiz Amirul Mahsan, 22, Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26, Abd Razak Hassan, 29, dan R. Balaguru, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka sebagai anggota satu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bangunan pusat beli-belah Ampang Point, Ampang Jaya pada jam 4 petang, 13 Nov 2016 mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, kesemua mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis bagi tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Peguam Izzat Zabir Sariff bagaimanapun memohon jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kesemua anak guamnya atas alasan mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan kes.

Mereka bukan dalam tahanan reman dan hadir di mahkamah semalam dari rumah masing-masing. Ini menunjukkan mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya terhadap sistem perundangan di negara ini,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, pada 13 Nov tahun lepas, Jamal bersama pengikutnya mengekori Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH 5.0 di pusat beli-belah Ampang Point sehingga dilaporkan berlaku perang mulut dan tolak-menolak antara anggota kedua-dua kumpulan berkenaan.

Jamal yang mendakwa dia ditumbuk ketika bertembung dengan sekumpulan individu berbaju kuning yang mempunyai logo BERSIH, di pusat beli-belah itu, kemudian bertindak membuat laporan polis. — Bernama

Advertisement