Anda di sini

Budak antara empat korban rusuhan di Venezuela

Advertisement
 Penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan ketika perhimpunan menentang kerajaan Maduro di Caracas, Venezuela, Isnin lepas. — Gambar Reuters
HURU-HARA: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan ketika perhimpunan menentang kerajaan Maduro di Caracas, Venezuela, Isnin lepas. — Gambar Reuters

CARACAS: Seorang budak lelaki ditembak mati dalam tunjuk perasaan baharu untuk membantah Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, seorang daripada empat yang terbunuh dalam pergolakan selama seminggu, kata pegawai kelmarin.

Pendakwa raya negeri berkata budak berusia 13 tahun itu adalah seorang daripada dua mangsa baharu dalam rusuhan baru-baru ini.

Penggubal undang-undang pembangkang Alfonso Marquina mengenal pasti mangsa remaja itu sebagai Brayan Principal dan berkata dia maut sewaktu pergolakan berlaku di bandar Barquisimeto pada Selasa malam.

Budak itu “ditembak pada bahagian perut semalam”, kata Marquina.

Beliau menyalahkan pe-nyokong bersenjata kerajaan bagi kematian itu.

Seorang lelaki berusia 36 tahun turut terbunuh di Barquisimeto dalam satu insiden berasingan, kata jabatan pendakwa raya negeri.

Dua pelajar berusia 19 tahun maut dalam rusuhan sebelum ini, seorang pada 6 April dan seorang lagi pada 11 April, menurut pihak berkuasa.

Maduro sedang menentang usaha untuk menggulingkannya ketika Venezuela, dahulu pengeksport minyak yang pesat membangun, bergelut dengan kekurangan makanan dan ubat-ubatan selain gelombang jenayah ganas.

Puluhan orang cedera dan lebih 100 ditangkap sejak Khamis lalu, menurut pihak berkuasa.

Pergelutan berlaku di antara penyokong kerajaan dan penentang sewaktu perarakan Minggu Suci di Gereja Santa Teresa di tengah Caracas kelmarin.

Pertelingkahan besar ter-akhir di Caracas meletus Isnin lepas sewaktu protes yang diumumkan secara rasmi oleh pembangkang.

Pembangkang belum meng-anjurkan tunjuk perasaan besar-besaran semenjak itu, tetapi rapat umum dan sekatan dari semasa ke semasa dilaporkan di seluruh negara, termasuk di Barquisimeto.

Polis rusuhan di Caracas dan kota lain melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasa-an yang melontar batu, dan pemimpin mereka berjanji untuk meneruskan tekanan ke atas Maduro.

Tiada protes besar di-umumkan untuk kelmarin tetapi ketua-ketua pembangkang mengumumkan rapat umum besar-besaran pada 19 April.

Ia dijangka cabaran besar seterusnya dalam krisis yang semakin tegang dan menimbulkan kebimbangan antarabangsa mengenai kestabilan di Venezuela.

Pembangkang menuntut pihak berkuasa menetapkan tarikh bagi pilihan raya negeri yang sudah ditunda.

Ia juga berang dengan langkah untuk membataskan kuasa dewan perundangan dan melarang pemimpin pembangkang kanan Henrique Capriles dari politik.

Langkah itu turut menimbulkan kecaman antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah.

Kritikan paling pedas di-sampaikan oleh setiausaha agung Pertubuhan Negara Amerika, Luis Almagro.

Beliau mengulangi dakwaan pembangkang bahawa Maduro telah melaksanakan pemerintahan diktator.

Pada Selasa lepas, televisyen Venezuela menamatkan sia-ran secara langsung perbarisan tentera apabila Maduro, yang mengambil bahagian, terkena objek yang dilontar oleh orang ramai.

Laporan dalam media sosial berkata projektil itu termasuk telur dan batu.

Beliau menentang usaha pembangkang untuk meng-adakan pungutan suara mengenai usaha untuk menyingkirkannya, dengan janji untuk meneruskan “revolusi sosialis” yang dilancarkan oleh presiden lama, Hugo Chavez.

Maduro mendakwa krisis ekonomi di negaranya adalah hasil daripada apa yang beliau panggil konspirasi kapitalis yang disokong oleh AS. — AFP

Advertisement