Anda di sini

Konsert Pop Rock Orkestra KL di Panggung Anniversary, Sabtu ini

Advertisement
 Anwar (kanan) menunjukkan poster Konsert Pop Rock Orkestra Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 15 April ini secara percuma di Panggung Anniversari Taman Botani. — Gambar Bernama
SABTU INI: Anwar (kanan) menunjukkan poster Konsert Pop Rock Orkestra Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 15 April ini secara percuma di Panggung Anniversari Taman Botani. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menganjurkan Konsert Pop Rock Orkestra Kuala Lumpur di Panggung Anniversary Taman Botani, Tasik Perdana di sini, Sabtu ini.

 Konsert percuma yang dijadualkan bermula 8.30 malam itu akan menampilkan penyanyi terkenal tanah air iaitu Zamani Slam, Ayai Illusi, Rahim Maarof, Haleeda dan Yantzen.

 Pengarah Jabatan Kebudayaan Kesenian Pelancongan dan Sukan DBKL Anwar Mohd Zain berkata selain berhibur, konsert itu juga bertujuan memperkenalkan semula pentas yang pernah melahirkan bintang hiburan pada era 1970-an dan juga awal 1980-an.

 “Dengan adanya acara konsert seperti ini, kami mengharapkan agar nostalgia pentas yang cukup terkenal pada satu masa dahulu dapat dihidupkan semula dan dikenali umum khususnya golongan muda.

 “Menariknya, persembahan artis-artis pada konsert nanti akan diserikan lagi dengan iringan muzik orkestra oleh 65 anggota orkestra DBKL,” katanya pada sidang media konsert tersebut di sini, kelmarin.

 Anwar yang menyasarkan lebih 1,000 pengunjung hadir berkata konsert itu merupakan acara berskala besar kali yang ketiga diadakan di panggung tersebut selepas ia dibuka semula kepada umum sejak tahun lepas.

 Panggung Anniversary yang dibina pada 1967 telah ditutup pada 2007 dan sekali lagi pada 2010 untuk proses pengubahsuaian kemudahan awam termasuk bumbung, tandas dan tempat duduk penonton yang mampu menempatkan seramai 2,000 orang dalam satu masa. — Bernama

Advertisement