Anda di sini

Tragedi tembakan di sekolah AS

Advertisement
 Seorang pegawai polis mengetuai barisan pelajar sekolah yang akan diserahkan kepada ibu bapa masing-masing sejurus selepas kejadian berdarah di San Bernardino, California kelmarin. — Gambar AFP
BERI SEMANGAT: Seorang pegawai polis mengetuai barisan pelajar sekolah yang akan diserahkan kepada ibu bapa masing-masing sejurus selepas kejadian berdarah di San Bernardino, California kelmarin. — Gambar AFP

SAN BERNARDINO: Seorang lelaki memasuki sebuah sekolah di selatan California kelmarin dan menembak mati isterinya yang sudah renggang daripadanya di hadapan pelajar isterinya, menyebabkan kematian seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang turut terkena tembakan, sebelum dia menembak diri sendiri.

Polis berkata penduduk tempatan Cedric Anderson mendaftar diri ke dalam pejabat sebagai pelawat selepas memasuki kampus di bandar raya San Bernardino dan pergi ke sebuah bilik kelas, di mana dia menembak Karen Elaine Smith, 53, yang sedang mengajar.

Pegawai polis berkata Anderson, 53, hanya mahu menyerang Smith tetapi dua pelajar dalam laluan tembakan.

Pelajar terbabit, Jonathan Martinez, kemudian mati di hospital manakala seorang lagi sedang kritikal.

“Ini adalah kejadian membunuh dan bunuh diri di mana kedua-dua penyerang lelaki dan mangsa wanita mati akibat kecederaan yang dialami, di mana si lelaki mati akibat luka tembakan yang dibuat kepada diri sendiri,” kata Leftenan Mike Madden dari Jabatan Polis San Bernardino pada sidang akhbar.

Pelajar di North Park Elementary School, yang mempunyai kira-kira 500 pelajar antara tadika hingga gred keenam, dibawa ke sebuah kampus berhampiran, menurut jabatan polis.

Serangan kelmarin kemungkinan mencetuskan semula perdebatan mengenai keganasan senjata api di AS, di mana usaha untuk melaksanakan langkah kawalan lebih ketat telah gagal, di sebalik beberapa pembunuhan beramai-ramai.

Dalam salah satu serangan sekolah paling dahsyat dalam sejarah moden AS, 20 kanak-kanak dan enam kakitangan dibunuh pada 2012 di Sandy Hook Elementary di Newtown, Connecticut.

Jun tahun lepas, 49 orang maut dalam satu serangan beramai-ramai di Pulse, sebuah kelab malam gay di Orlando, Florida.

“Kampus sekolah merupakan ruang suci di mana kanak-kanak sepatutnya bebas untuk belajar, bermain dan membesar tanpa ancaman keganasan,” menurut Datuk Bandar Los Angeles Eric Garcetti dalam satu kenyataan.

“Serangan pada hari ini adalah satu peringatan bahawa senjata berbahaya dapat memusnahkan rasa selamat, tanpa belas kasihan dan tanpa amaran, menyukarkan usaha ibu bapa dan pendidik untuk menangani persoalan, kebimbangan dan keresahan yang diwujudkan oleh keganasan senapang bagi golongan muda.”

Lebih 33,000 penduduk Amerika mati setiap tahun disebabkan oleh senjata api, termasuk bunuh diri, pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding di negara Barat lain.

Sementara calon presiden Demokrat yang tewas, Hillary Clinton, berikrar untuk menentang lobi senjata api dalam kempen pilihan raya pada tahun lepas, Presiden Donald Trump pula berjanji untuk mempertahankan hak memiliki senjata dan mengakui sesekali membawa pistol.

Februari lalu, Trump menandatangani satu langkah yang membatalkan undang-undang era Obama yang menyekat peraturan yang memastikan senjata api tidak jatuh ke tangan orang sakit mental tertentu.

Peraturan itu bertujuan menghalang kira-kira 75,000 penghidap masalah mental daripada membeli senjata api dalam usaha Obama untuk mengukuhkan sistem pemeriksaan latar belakang persekutuan susulan pembunuhan beramai-ramai Sandy Hook.

Adam Lanza, 20, yang menembak mati ibunya menggunakan senapang mangsa sendiri sebelum membunuh pelajar, orang dewasa dan diri sendiri, mempunyai sindrom Asperger dan masalah obsesif-kompulsif.

Peraturan pentadbiran Obama mewajibkan Pentadbiran Keselamatan Sosial untuk menyerahkan nama penerima bantuan yang terencat mental dan juga ada pihak ketiga untuk mengurus bantuan mereka.

Namun Senat yang dikuasai majoriti Republikan, disokong pelobi senjata api Persatuan Raifal Kebangsaan dan kumpulan advokasi kurang upaya, mengundi 57-43 untuk membatalkan peraturan itu. — AFP

Advertisement