Anda di sini

Tiada lokasi baharu positif H5N1: JPV

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada lokasi baharu disahkan positif penyakit selesema burung (H5N1) di Kelantan sejak 13 hari lepas, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Jabatan itu dalam kenyataan berkata sehingga kini 36 lokasi lama disahkan positif virus itu melibatkan enam jajahan iaitu Kota Bharu di 15 lokasi, Pasir Mas (enam), Tumpat (lima), Tanah Merah (satu), Bachok (enam) dan Pasir Puteh (tiga).

“Operasi pelupusan telah selesai dijalankan di 36 lokasi yang disahkan positif dan jumlah pelupusan adalah 56,953 ternakan unggas dan 17,531 biji telur serta sampel yang diambil adalah 3,792 daripada 647 pemilik,” katanya.

JPV berkata melalui operasi sekatan jalan raya, sebanyak 6,159 kenderaan telah diperiksa dengan 35 kes rampasan melibatkan 176 ekor unggas.

Setakat ini tiada kes jangkitan dikesan dalam kalangan manusia, katanya.

Menurut kenyataan itu, telur dan daging ayam adalah selamat dimakan kerana ia dikeluarkan oleh pengusaha dan penternak di negeri yang bebas H5N1.

Bagaimanapun negeri-negeri yang bebas wabak tersebut berada dalam tahap kesiapsiagaan yang tinggi termasuk melakukan pemantauan secara aktif dan kawalan pergerakan unggas di jalan masuk ke negeri masing-masing.

Kerajaan Kelantan mengisytiharkan H5N1 sebagai bencana negeri pada 15 Mac lepas selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas. — Bernama

Advertisement