Anda di sini

Suami isteri didakwa di mahkamah tukar harga barangan bayi

Advertisement

IPOH: Akibat menukar tanda harga barangan bayi di sebuah pasar raya di sini, sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam.

Bagaimanapun, Saddam Abdullah, 57, dan Siti Aishah Abdullah, 56, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Salwa Ja’afar.

Kedua-dua tertuduh didakwa menipu juruwang Nur Ayuni Hisamuddin, 22, dengan menukar tanda harga pada barang tilam bayi jenama C-Cbhaus Pe Fold daripada harga RM233 kepada harga RM26.90, dengan itu telah menyebabkan juruwang tersebut mempercayai dan menerima bayaran daripada tertuduh.

Pasangan suami isteri itu telah melakukan kesalahan itu di pasar raya Aeon Big Falim, di sini kira-kira jam 11.17 pagi pada 7 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Ke-seksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek.

Terdahulu, Raja Mohd Iskandar memohon mah-kamah mengenakan jaminan yang minimum bagi kedua-dua tertuduh.

“Ini kerana kedua-dua tertuduh tidak bekerja dan masing-masing menghidap penyakit diabetes dan ke-murungan,” katanya.

Majistret Siti Salwa mem-benarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula. — Bernama

Advertisement