Anda di sini

Rampasan buku: Zunar peroleh ganti rugi RM18,000

KUALA LUMPUR: Kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, yang lebih dikenali sebagai Zunar, memperoleh ganti rugi RM18,000 berhubung rampasan 66 buku dan sebuah lukisan kartun miliknya, yang didapati menyalahi undang-undang.

Peguam Latheefa Koya memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi K. Pavani merekodkan penghakiman penyelesaian di mana kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membayar jumlah ganti rugi itu kepada Zulkiflee dan syarikat pengedar buku, Sepakat Efektif Sdn Bhd selaku plaintif.

Pavani merekodkan penghakiman penyelesaian itu di dalam kamarnya, dengan  turut dihadiri Peguam Persekutuan Safiyyah Omar mewakili ASP A.Arikrishna, ASP Marinam Hashim, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (ketika itu), Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Prosiding semalam adalah bagi menentukan taksiran ganti rugi khas yang diperoleh Zulkiflee selepas Mahkamah Tinggi membenarkan ganti rugi khas yang dituntut plaintif berhubung rampasan buku-buku dan lukisan berkenaan dalam saman yang difailkan Zulkiflee.

Pada 31 Julai 2012, Mahkamah Tinggi memutuskan penangkapan dan penahanan Zulkiflee oleh polis pada 2010 adalah sah di sisi undang-undang, bagaimanapun mendapati rampasan 66 daripada bukunya dan sebuah lukisan adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah juga memerintahkan buku dan lukisan itu dikembalikan kepada kartunis terbabit. Keputusan Mahkamah Tinggi itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 1 Nov 2013.

Dalam saman yang difailkan pada 15 Jun 2011, Zulkiflee mendakwa pada jam 4 petang 24 Sept 2010, sepasukan polis yang diketuai ASP Arikrishna menyerbu pejabatnya dan bertindak menangkap beliau serta merampas 66 buku bertajuk ‘Cartoon-0-phobia’ dan sebuah lukisan kartun.     Dalam pernyataan tuntutan itu, Zulkiflee mempertikai asas-asas penangkapan dan penahanannya, rampasan terhadap karyanya dan menyatakan bahawa tindakan itu adalah salah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang serta berniat untuk menggagalkan pelancaran bukunya. — Bernama