Anda di sini

Pesawat MAS tergelincir: Kapten cekap selamatkan penumpang

Advertisement

Kapten mengurangkan risiko kemalangan meski berdepan cuaca buruk

KUALA LUMPUR: Penumpang penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2718 yang tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu Sabtu lepas, terselamat kerana kecekapan kapten kapal tersebut yang berjaya mengawal situasi dengan baik sekali, kata pakar penerbangan.

Mereka berpendapat kapten kapal tersebut berjaya mengendalikan kapal terbang jenis Boeing 737-800 yang membawa 61 penumpang dan enam kru itu dengan mengurangkan risiko kemalangan walaupun berdepan dengan cuaca buruk.

Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata beliau percaya kapten kapal telah membuat perkiraan matematik dan teknikal dengan tepat sebelum mengambil keputusan untuk mendarat dan memberhentikan pesawat.

“Keputusan yang dicapai hendaklah juga berdasarkan pengiraan matematik yang mengambil kira panjang landasan dan juga keefisienan geseran antara landasan yang basah dan roda pesawat.

“Data panjang landasan biasanya berada pada ‘data sheet’ di dalam kokpit pesawat. Jika saya berada dalam situasi tersebut saya akan melakukan beberapa perkiraan matematik termasuklah mengira daya brek yang diperlukan untuk menghentikan pesawat dalam keadaan landasan yang amat licin.

“Jika perkiraan tersebut menunjukkan pesawat tidak mempunyai daya yang utuh untuk menghentikan pesawat dalam julat panjang landasan, saya akan melakukan pendaratan di lapangan terbang yang lain,” kata Juruterbang Ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu kepada Bernama semalam.

Dilapor pesawat MH2718 dari Kuala Lumpur tersebut tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu dalam hujan lebat malam Sabtu lepas dan tiada kecederaan yang dilaporkan. Semua di dalam pesawat selamat dibawa turun menerusi dua rakit gelongsor dan siasatan segera telah diadakan bagi menentukan punca kejadian itu.

Beberapa penumpang mendakwa landasan mendarat itu ‘bertakung’ dan kedengaran bunyi brek ditekan secara perlahan sebelum tergelincir ke satu arah dan berhenti. Penumpang mendakwa kapten kapal telah bertindak profesional dengan cuba membuat pendaratan dengan begitu profesional walaupun berdepan cuaca buruk demi keselamatan semua pihak.

Mohd Harridon berkata pada kebiasaannya, apabila kapal terbang tergelincir, prosedur standard operasi menyarankan apabila pesawat telah berhenti sepenuhnya, gelongsor keselamatan hendaklah ditebarkan serta-merta secara automatik atau manual.

Katanya, kru pesawat hendaklah mengira dan memastikan kesemua penumpang telah keluar daripada pesawat dan juruterbang hendaklah memastikan yang kesemua enjin telah dipadamkan untuk mengurangkan lagi risiko kebakaran.

Senada dengannya, Kapten Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff menyifatkan tindakan mendaratkan kapal terbang tersebut merupakan keputusan terbaik berbanding pilihan lain seperti berlegar-legar lebih lama di udara.

“Apabila pesawat mengalami penggelinciran, penting untuk juruterbang menggunakan brek kaki secara berganti-ganti untuk mengatasi arah penggelinciran, gunakan ‘speedbrakes’ di sayap untuk menambah tekanan berat ke atas tayar, dan gunakan ‘thrust reverser’ untuk memperlahankan kelajuan pesawat.

“Berlegar di udara untuk tunggu cuaca menjadi lebih baik boleh juga dilakukan tetapi ini membakar lebihan minyak pesawat. Alternatif lain adalah untuk mendarat di lapangan terbang yang lain yang mempunyai cuaca yang elok,” kata bekas Pegawai Penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ditanya langkah yang sepatutnya boleh dilakukan jika situasi sama berulang, Abdul Rahmat berkata jika hujan lebat melampau, pihak pengurusan lapangan terbang boleh menghantar anggota untuk membuat analisis air di permukaan landasan dan terus menasihatkan syarikat-syarikat penerbangan dan pengawal trafik udara sama ada boleh mendarat atau ke lapangan terbang lain.

Seorang lagi pakar penerbangan yang juga juruterbang tempatan yang enggan dikenali berkata jika pesawat tergelincir dari landasan, biasanya ia berpunca daripada air atau salji di landasan.

Beliau berkata juruterbang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah lapangan terbang alternatif untuk dipilih bagi mendarat sekiranya mereka tidak dapat mendarat di lapangan terbang destinasi.

Katanya kebanyakan juruterbang akan menilai keadaan di lapangan destinasi terlebih dahulu sama ada sesuai untuk mendarat atau tidak dan kemudian memutuskan tempat untuk mendarat.

“Dalam kes ini, juruterbang memutuskan bahawa landasan itu selamat untuk mendarat. Mendarat di landasan yang basah dan licin adalah perkara biasa untuk dilakukan. Kita dapat melihat pesawat mendarat dalam hujan setiap hari.

“Ia adalah selamat dan juruterbang dilatih untuk berbuat demikian. Cuma nasib tidak menyebelahi apabila pesawat mereka tergelincir dari landasan. Jika saya adalah juruterbang itu, saya juga mungkin akan melakukan perkara sama,” katanya.

Dilaporkan kejadian pesawat Malaysia Airlines itu tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu pada jam 10.17 malam Sabtu lepas masih dalam siasatan.

Pengarah Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan Datuk Yahaya Abdul Rahman berkata dua pegawai BSKU berada di lapangan terbang itu untuk menyiasat insiden melibatkan penerbangan MH2718 itu dan siasatan dijalankan mengikut Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Sivil Antrabangsa (ICAO). — Bernama

Advertisement