Anda di sini

Penjenayah tegar dipenjara 12 bulan pecah rumah, curi

Advertisement

MIRI: Seorang penjenayah tegar dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah terhadap tuduhan melakukan pecah rumah dan curi.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya, kepentingan awam serta mengambil kira bahawa tertuduh turut mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau.

Stephen Serit, 36, dari Sungai Tapang, Bakas, Bekenu telah didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah melakukan pecah rumah dengan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri wang tunai RM3,000 serta barang kemas bernilai RM3,500 kepunyaan Lau Shing Tzu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang, 29 Julai 2016 di Desa Pujut 2T di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement