Anda di sini

Pelajar kolej ditahan

Advertisement
 Suspek dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.
TANGKAP: Suspek dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Seorang pelajar tahun ketiga sebuah kolej swasta ditahan polis kira-kira dua jam selepas penemuan mayat seorang bayi perempuan di tempat pembuangan sampah sebuah pangsapuri di Samajaya di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, wanita berusia 24 tahun berasal dari Belaga itu ditahan selepas siasatan dilakukan di tempat kejadian sekitar jam 12 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang juga menetap di pangsapuri itu dipercayai melahirkan bayi terbabit sekitar jam 6.30 pagi di dalam bilik mandi sebelum dipercayai bertindak membuangnya.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan JSJ Kuching diketuai ASP Ooi Jin Bing berjaya menahan suspek dan hasil siasatan awal mendapati bayi terbabit dilahirkan pada jam 6.30 pagi di dalam bilik mandi.

“Setakat ini, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian,” kata Dev dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Dev turut menegaskan kes akan disiasat sebagai kes bunuh sekiranya polis dapat membuktikan bayi terbabit masih hidup semasa dibuang.

“Siasatan terperinci masih dijalankan dan sekiranya didapati bayi terbabit masih hidup semasa dia dibuang, maka suspek akan dituduh membunuh atas perbuatannya yang tidak dapat diterima akal,” jelas Dev.

Difahamkan, bayi terbabit ditemui oleh seorang tukang cuci di pangsapuri tersebut sekitar jam 10 pagi.

“Wanita berusia 36 tahun itu menjumpai sebuah kotak berwarna merah yang dibuang ke dalam tong sampah berkenaan dan apabila membukanya, dia terkejut melihat mayat seorang bayi yang baharu dilahirkan.

 Kelihatan anggota forensik IPK Sarawak membawa bayi terbabit sebelum dihantar ke Unit Forensik HUS.
SIASAT: Kelihatan anggota forensik IPK Sarawak membawa bayi terbabit sebelum dihantar ke Unit Forensik HUS.

“Dia bergegas memaklumkan kepada pihak pengurusan pangsapuri tersebut dan terus membuat laporan polis berhubung kejadian,” kata Dev.

Anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak juga dikerah ke tempat kejadian dan bayi terbabit disahkan tidak lagi bernyawa oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mayat bayi malang itu kemudiannya dihantar ke Unit Forensik HUS untuk bedah siasat, manakala suspek dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

“Ini merupakan kes pertama (buang bayi) dilaporkan pada tahun ini berbanding 10 kes pada tahun lepas,” kata Dev.

  • oleh
  • Advertisement