Anda di sini

Militan serang pulau Filipina, lima maut

Advertisement

MANILA: Lima termasuk seorang pegawai polis Filipina maut semalam dalam pertelingkahan dengan 10 orang yang disyaki anggota kumpulan culik Abu Sayyaf di pulau peranginan Bobol, kata pihak berkuasa.

Serangan itu yang pertama ke atas destinasi pelancongan penting sejak beberapa tahun lalu oleh Abu Sayyaf.

Lima mayat sudah dijumpai di lokasi pertempuran, kata jurucakap tentera Flipina, Brigadier-Jeneral Restituto Padilla, dalam televisyen ABS-CBN di Manila.

Sekurang-kurangnya seorang anggota polis disahkan maut dalam pertempuran itu, kata jurucakap polis negara Superintenden Kanan Dionardo Carlos.

“Pasukan keselamatan melaporkan kumpulan bersenjata itu dilengkapi senjata berkaliber berat, tetapi sekarang dikepung dalam satu bahagian terpencil di Bohol,” menurut ketua turus tentera Filipina Jeneral Eduardo Ano.

Bohol sebuah destinasi pelancongan penting di mana pelancong asing berenang bersama jerung dan mengagumi primat kecil dipanggil ‘tarsier’, menyertai pelayaran peranginan di sungai jernih dan bersantai di pantai berpasir putih.

Padilla berkata, tentera telah menerima maklumat sejak beberapa minggu lalu tentang kegiatan elemen jahat yang mahu mengganggu keamanan.

“Operasi pembersihan sedang dijalankan dan kami mengerah bantuan daripada lebih ramai anggota,” tambah jurucakap itu.

Lelaki bersenjata belayar ke bandar Inabanga, Bohol, kelmarin sebelum mudik ke hulu sungai ke bahagian terpencil pulau itu dengan tiga bot laju, kata pegawai polis Inabanga, Edwin Melicor, menerusi telefon.

“Penduduk memberitahu kami, lelaki bersenjata itu mungkin Muslim kerana mereka menaiki bot yang digunakan hanya di Mindanao,” kata Melicor.

Pertelingkahan berdarah itu meletus apabila pihak polis pergi ke sana untuk menyiasat awal semalam, tambah Melicor. — AFP

Advertisement