Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah curi pelbagai barang dari kedai cermin mata

Advertisement

MIRI:  Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan mencuri pelbagai barangan dari sebuah kedai cermin mata.

Liu Keng Seng, 27, dari Taman Delight, Jalan Airport di sini didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa mencuri 120 kotak penyimpanan cermin mata, enam kotak mengandungi kanta cermin mata pelbagai saiz, enam unit alat pemeriksa mata, sebuah mesin pembuat cermin mata, sebuah mesin pengilat cermin mata, sebuah mesin pemotong cermin mata dan 517 pasang cermin mata pelbagai jenis yang kesemuanya bernilai RM111,215 kepunyaan Tan Chor Thiam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama tiga individu yang masih bebas pada jam 2.30 petang, 18 Mac 2015 di sebuah kedai cermin mata yang terletak di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Jalan Airport di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 20 April ini untuk pengurusan kes.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Advertisement