Anda di sini

KDN panggil ketua pengarang Nanyang Siang Pau, keluar surat tunjuk sebab

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memanggil ketua pengarang akhbar harian Nanyang Siang Pau Sdn Bhd (Nanyang Siang Pau) berikutan penyiaran karikatur menghina Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata satu surat tunjuk sebab bertarikh semalam telah dikeluarkan kepada akhbar harian berbahasa Cina itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata penerbit diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.

“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Alwi berkata karikatur tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Ia juga secara tidak langsung seolah-olah telah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana RUU 355 (Pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965) yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam,” katanya.

Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan karikatur di portal mereka yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label ‘Hadi Awang’. — Bernama

Advertisement