Anda di sini

Hina Pandikar Amin dan Abdul Hadi: Pemuda UMNO P.Pinang lapor polis

Advertisement

GEORGE TOWN: Pemuda UMNO Pulau Pinang semalam membuat laporan polis berhubung penyiaran kartun dalam akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang dianggap menghina Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Naib Ketuanya Jasmin Nordin berkata pihaknya membuat laporan itu berikutan kesal dengan penerbitan dibuat akhbar terbabit yang telah merendahkan martabat orang beragama Islam.

“Kita harap pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengkaji semula permit akhbar tersebut kerana akhbar ini didapati menggunakan kebebasan secara melulu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini semalam.

Jasmin berkata biarpun akhbar itu telah mengemukakan permohonan maaf atas penyiaran kartun itu,  perkara itu tidak mudah untuk dilupakan begitu sahaja.

Akhbar itu kelmarin telah mengemukakan permohonan maaf dan mengakui penyiaran kartun itu adalah tidak wajar untuk tatapan umum.

Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan sebuah kartun di portal mereka, yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label ‘Hadi Awang’.

Kedua-dua monyet berkenaan digambarkan sedang bertenggek di atas dahan sebuah pokok yang diberi label ‘Akta 355’. — Bernama

Advertisement