Anda di sini

Cetak rompak dapat dibendung dengan kesedaran yang tinggi

Advertisement
 Chambai (empat kanan) disaksikan Sebeli (tiga kanan) serta yang lain ketika melancarkan Album Gawai ‘Malas Uti’.
LANCAR: Chambai (empat kanan) disaksikan Sebeli (tiga kanan) serta yang lain ketika melancarkan Album Gawai ‘Malas Uti’.

SIBU: Gejala cetak rompak hanya dapat dibendung melalui kesedaran tinggi masyarakat Dayak untuk membeli album yang tulen.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu Chambai Lindong berkata, gejala terbabit agar sukar dibendung dan ia merupakan pembunuh kepada industri muzik Dayak di negeri ini.

“Jika tiada sokongan dari masyarakat kita sendiri, industri muzik kita akan mati.

“Hanya dengan kesedaran yang tinggi di kalangan masyarakat kita sendiri untuk menyokong membeli album yang tulen, gejala cetak rompak ini akan dapat dibendung,” katanya berucap ketika melancarkan Album Gawai Dayak 2017 berjudul ‘Malas Uti’ edaran dan keluaran Asese Production di Taman Tasik Permai di sini, petang kelmarin.

Hadir sama ialah Kaunselor Ho Ko Munting, Pengarah Asese Production Asese Sebeli serta rakan-rakan artis dari Kumpulan Masterpiece, Lerry Silas dan ramai lagi.

Chambai memberitahu, kesedaran tinggi berkenaan slogan yang sering dilaung-laungkan iaitu ‘Belilah Yang Original’ harus difahami dengan lebih mendalam lagi oleh masyarakat Dayak sendiri.

“Kos mengeluarkan album menelan kos yang tinggi dan sekiranya karya penyanyi ‘dirompak’ mereka tidak dapat pulangan modal.

“Macam mana mereka nak hidup dan segala penat lelah mereka selama ini sia-sia diperlakukan sebegitu rupa,” tegasnya.

Jelasnya, jika masyarakat Dayak sendiri terus membeli album cetak rompak, penggiat seni lagu-lagu Dayak mungkin berasa putus asa dan tidak menghasilkan karya mereka sekali gus menyebabkan industri muzik Dayak mati.

Sementara itu, Chambai turut menggesa penggiat seni lagu-lagu Dayak supaya lebih berani dan kreatif untuk bersaing dalam pasaran.

Katanya, strategi pemasaran serta mempunyai sasaran pasaran seharusnya diambil kira sebelum mengeluarkan album.

“Kualiti dan standard dalam lagu-lagu di sesebuah album harus diberi perhatian serius kerana ia merupakan tarikan utama kepada pendengar dan peminat,” ujarnya.

Beliau turut memuji usaha Asese Sebeli yang berani bersaing mengeluarkan album Gawai ini dan menyifatkan bakat yang dimilikinya adalah satu anugerah dari Tuhan.

Chambai dalam pada itu turut menyeru agar semua masyarakat Dayak menyokong industri muzik Dayak serta memperjuangkan usaha membeli album yang tulen.

  • oleh
  • Advertisement