Anda di sini

ANGKASA terokai pasaran China hujung tahun ini: Abdul Fattah

Advertisement
 Abdul Fattah (depan tiga, kiri) bersalaman dengan Datuk Bandar Lanzhou Niu Xingdong (depan empat, kanan) selepas menerima kunjungan rasmi Datuk Bandar Lanzhou itu di Wisma Ungku Aziz di Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama
SELAMAT DATANG: Abdul Fattah (depan tiga, kiri) bersalaman dengan Datuk Bandar Lanzhou Niu Xingdong (depan empat, kanan) selepas menerima kunjungan rasmi Datuk Bandar Lanzhou itu di Wisma Ungku Aziz di Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Kerjasama dengan pihak pentadbiran Lanzhou, China menjadi platform baharu buat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerokai pasaran ke China.  

Presiden ANGKASA Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata pihaknya menyasarkan untuk memasarkan produk bernilai RM2 juta ke Lanzhou. 

“Angkasa sasarkan untuk mengeksport 10 kontena barangan makanan, produk industri kecil dan sederhana (IKS) dan produk kosmetik berjumlah kira-kira RM200,000 setiap kontena ke China hujung tahun ini.  

“Kita bersedia berkongsi kepakaran dengan China dalam mendapatkan produk halal yang mana mereka ingin mencontohi kita dalam mengeluarkan produk yang menepati syariah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi pentadbiran Lanzhou yang dipimpin Ketua Jawatankuasa Pentadbiran Lanzhou, Niu Xiangdong di sini, semalam.  

Abdul Fattah berkata pihaknya juga bercadang membuka sebuah restoran koperasi Malaysia di negara tersebut.

“Menerusi kerjasama ‘win-win situation’ ini, mereka (China) akan menyediakan premis perniagaan dan operasinya akan dilakukan oleh koperasi ANGKASA. 

“Berdasarkan maklum balas daripada wakil China di sini, kebolehpasaran produk Malaysia di sana sangat berpotensi besar memandangkan bilangan Muslim di sana lebih ramai dan mereka sangat mementingkan produk halal,” katanya. 

Beliau yang juga Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata pihaknya akan mengenalpasti produk daripada koperasi negara ASEAN untuk turut dipasarkan ke negara tersebut.

“Kita juga akan memberi peluang kepada 250,000 koperasi di bawah ACO dengan 60 juta ahli untuk memasarkan produk ke China dan saya yakin ia akan meningkatkan jumlah dagangan barangan koperasi bukan sahaja koperasi Malaysia tetapi juga ASEAN,” katanya. — Bernama

Advertisement