Anda di sini

19 April urus kes lelaki nafi miliki parang panjang tanpa kebenaran

MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 19 April ini untuk pengurusan kes seorang lelaki yang menafikan tuduhan memiliki sebilah parang panjang tanpa kebenaran sah.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Yong Kiam Phin, 29, dari RPR Sebiew, Bintulu telah dituduh memiliki sebilah parang panjang berukuran 55cm termasuk hulu tanpa kebenaran yang sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.20 petang, 20 Mac lalu di tempat letak kenderaan berhampiran sebuah restoran di tingkat bawah Mega-Emart Commercial Centre, Jalan Miri-Bintulu di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.