Anda di sini

Rompak: Dua lelaki diperintah bebas dengan jaminan RM20,000

Advertisement

MIRI: Dua lelaki masing-masing diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini dibebas dengan jaminan RM20,000 berserta dua penjamin tempatan setelah menafikan tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas sebuah kedai siber.

Mohd Nuraffizzull Mahdi dari Kampung Tupong Tengah dan Hasri Lamat Nawawee dari Taman Wee & Wee, Jalan Kapor, Kuching didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan merompak wang tunai RM4,520 kepunyaan sebuah kedai siber.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu jam 7.30 pagi pada 25 Mac lalu di sebuah kedai siber di Taman Jade Manis di sini.

Di hadapan mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohamad I’zzat Wan Abdullah memohon ditetapkan satu tarikh baharu pengurusan kes memandangkan kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicara.

Beliau turut memohon agar kedua-dua tertuduh dibebas dengan jaminan tinggi memandangkan kesalahan yang mereka lakukan adalah serius serta memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.

Hakim Steve Ritikos menetapkan 25 April ini untuk pengurusan kes dan perbicaraan lanjut ditetapkan pada 11 hingga 15 September depan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar RM10,000 sebagai deposit jaminan.

Advertisement