Anda di sini

Rempuh pejalan kaki: Kru kapal mengaku tidak salah

Advertisement
 Nazri diiirngi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik semalam atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang wanita Khamis lepas. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Nazri diiirngi anggota polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik semalam atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang wanita Khamis lepas. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Seorang penunggang motosikal yang merempuh seorang wanita yang melintas jalan di Jalan Burma di sini, Khamis lepas, dihadapkan di Mahkamah Khas Trafik di sini semalam.

Tertuduh, Nazri Che Lah, 44, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan  menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Dia, yang menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran PMX 7454, didakwa melakukan perbuatan itu sehingga menyebabkan kematian Foo Swee Wah, 58, di Jalan Burma, kira-kira jam 10.30 pagi, 6 April lepas.

Tertuduh, seorang kru kapal, dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin menawarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan memohon lesen kenderaan tertuduh digantung.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan tidak mampu membayar wang jaminan yang banyak kerana bekerja sebagai kru kapal dan mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan lesen tertuduh digantung serta menetapkan 29 Mei untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

Sebelum ini, kejadian itu tular di media sosial selepas kamera ‘dashcam’ yang merakam kejadian itu menunjukkan penunggang motosikal melarikan diri selepas melanggar seorang wanita yang ketika itu sedang melintas di laluan melintas pejalan kaki yang disediakan di kawasan berkenaan.

Wanita itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di zon merah wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 8.45 malam, pada hari yang sama.

Polis kemudian menahan penunggang motosikal itu semasa mendapatkan rawatan di HPP keesokan hari akibat cedera dalam kejadian itu. — Bernama

Advertisement