Anda di sini

PME sasar jualan produk hiliran halia meningkat

Advertisement

KOTA KINABALU: Pemborong Mangkab Enterprise (PME), syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyasarkan produk serbuk dan minuman berasaskan halianya mencatat nilai jualan RM200,000 tahun ini, selepas berjaya menembusi pasaran China pada tahun lepas.

 Pengurus Besar PME, Hendry Charles berkata sasaran itu merupakan peningkatan lebih 50 peratus berbanding nilai jualan sebanyak RM120,000 pada 2016.

 Beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai memandangkan produk hiliran halia di bawah jenama PME telah menembusi pasaran China mulai tahun lepas di samping perluasan pasaran tempatan.

 “Pada tahun lalu, produk kami menembusi pasaran China dan kami mempunyai satu ejen di Guangzhou. Sambutan terhadap produk kami di sana juga amat menggalakkan dan sasaran pada tahun ini bergantung kepada permintaan pasaran China dan tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama semasa pameran produk tempatan di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, semalam.

 Beliau berkata, kejayaan menembusi pasaran negara itu dicapai selepas penyertaan PME dalam satu ekspo di China pada tahun lepas, dengan dorongan Jabatan Pembangunan, Perindustrian dan Penyelidikan Sabah (DIDR).

 Hendry berkata, segala usaha memperkasakan pemasaran produk tempatan oleh kerajaan banyak memberi manfaat kepada usahawan PKS dalam mengembangkan potensi perniagaan tidak hanya dalam pasaran tempatan malah ke luar negara.

 Beliau berkata, syarikat PME mula beroperasi pada 2008 di Tambunan, kirakira 80 kilometer dari sini, mendapatkan bekalan halia daripada penanam halia di sekitar Tambunan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.

 Sementara itu, seorang usahawan serunding Tuhau dari Ranau, Wasinah Kuntagil berkata, produk itu mula terkenal di pasaran selepas dikenal pasti oleh Yayasan Inovasi pada 2011.

 Susulan itu, jualan produk serunding berasaskan umbut pokok Tuhau atau Tepus keluaran syarikat Cahaya Kasih Sdn Bhd tersebut melonjak daripada hanya RM1,000 sebulan kepada lebih RM10,000 sebulan, katanya.

 Pelbagai agensi kerajaan membantu mengembangkan perniagaan Wasinah selain Yayasan Inovasi, antaranya Jabatan Pertanian, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

 “Sekarang, kami masih dalam perbincangan untuk mengeksport produk ini ke pasaran luar negara,” katanya.

 Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman meluangkan masa melawat gerai pameran tersebut yang turut mempamerkan pelbagai produk kraftangan berasaskan tempurung kelapa dari Pitas dan kuih cincin dari Papar.

 Musa berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan program pameran seumpama itu memandangkan berupaya menjadi platform dalam memperkenal dan memasarkan produk tempatan Sabah yang disifatkannya baik, sesuai dan boleh dipasarkan. — Bernama

Advertisement