Anda di sini

Pilihan raya kecil Kashmir India berdarah

Advertisement

Polis laksana perintah berkurung ke atas pergerakan penduduk susulan lapan kematian

 Penunjuk perasaan melontar batu ke arah anggota polis India semasa menyertai protes menolak pilihan raya kecil di Srinagar, kelmarin. — Gambar Reuters
HURU-HARA: Penunjuk perasaan melontar batu ke arah anggota polis India semasa menyertai protes menolak pilihan raya kecil di Srinagar, kelmarin. — Gambar Reuters

SRINAGAR: Pihak polis India semalam mengeluarkan perintah berkurung ke atas pergerakan penduduk di sekitar beberapa bahagian bertelagah di Kashmir, sehari selepas pertempuran dengan penunjuk perasaan semasa pilihan raya kecil mengorbankan lapan dan mencederakan lebih 200 lagi.

Puak pemisah di Kashmir menyeru mogok dua hari sebagai bantahan.

Seruan mereka agar memboikot pilihan raya di Srinagar, dan keganasan yang berlaku, menyebabkan kehadiran pengundi hanya tujuh peratus kelmarin dan memaksa 70 pusat pengundian ditutup.

Semasa pertempuran di daerah Budgam, pihak polis mulanya menggunakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang melontar batu, namun kemudian melepaskan tembakan, membunuh tujuh orang, kata seorang pegawai kanan polis.

Seorang penunjuk perasaan terbunuh dalam insiden berasingan.

Kawalan keselamatan dipertingkatkan semalam di sekitar wilayah Himalaya itu, di mana pihak polis menghadang jalan raya dan menyekat pergerakan kenderaan.

Sebahagian perkhidmatan kereta api turut ditangguhkan di wilayah tersebut, menurut seorang pegawai perkhidmatan kereta api.

India menuduh Pakistan menyokong pejuang pemisah, satu dakwaan yang dinafikan Islamabad sebagai tidak berasas sama sekali.

Kashmir, sebahagian daripada satu-satunya wilayah majoriti Islam di India, menyaksikan bantahan maut selepas seorang militan pemisah ternama dibunuh tahun lepas.

Keganasan yang menyusuli pembunuhan itu mengorbankan 84 orang dan mencederakan lebih 12,000 orang termasuk kakitangan pasukan keselamatan.

Ketua pegawai pilihan raya Shantmanu berkata, lebih 200 insiden keganasan telah dilaporkan kelmarin, termasuk lontaran batu, serangan bom petrol dan pembakaran sebuah pusat pembuangan undi.

Pilihan raya kecil kelmarin diadakan di ibu wilayah Srinagar bagi memenuhkan satu kerusi kosong dalam Dewan Rakyat di Parlimen India, Lok Sabha.

Pilihan raya kecil kedua di negeri itu dijangka diadakan pada 12 April di Anantnag.

Kami berasa bimbang mengenai pilihan raya Anantnag kerana ia adalah sebuah kawasan yang lebih sensitif,” menurut pegawai polis.

Dalam insiden berasingan semalam, pegawai pertahanan India Rajesh Kalia menyatakan empat suspek militan terbunuh selepas cuba menyerang di sepanjang sempadan yang dipertikaikan dengan Pakistan berhampiran kawasan yang dikenali sebagai sektor Keran.

Kami menyedari pergerakan militan pada awal pagi dan membunuh mereka semasa satu serangan hendap,” menurut Kalia mengenai insiden tersebut.

Setiap negara berjiran itu menuntut wilayah itu sepenuhnya, namun mentadbir bahagian berasingan.

Dua daripada tiga peperangan yang berlaku sejak kemerdekaan dari Britain pada 1947 melibatkan Kashmir.

Pada September tahun lepas, ketegangan memuncak ketika penyerang bersenjata membunuh 19 anggota tentera India di sebuah kem tentera di Kashmir, dalam serangan yang dipersalahkan India terhadap militan yang berpusat di Pakistan. — Reuters

Advertisement