Anda di sini

Perketatkan syarat pengeluaran lesen PSV

Advertisement

IEM berpendapat ia sebahagian daripada langkah untuk kurangkan nahas jalan raya

KUALA LUMPUR: Institut Jurutera Malaysia (IEM) menggesa kerajaan memperketatkan lagi proses pengeluaran lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) sebagai sebahagian daripada langkah untuk meningkatkan kadar keselamatan jalan raya.

Presiden IEM Ir Tan Yean Chin mencadangkan agar pihak berkuasa juga mewajibkan penggunaan Sistem Retarder dan alat mengehadkan kelajuan berhubung pengeluaran PSV, di samping mengetatkan lagi proses pemeriksaan kenderaan berat.

Pemilihan pemandu secara sistematik dan pelaksanaan program latihan bagi memastikan hanya pemandu berkelayakan dan bertanggungjawab dibenar memandu di jalan raya juga, perlu diwujudkan.

Tidak kurang pentingnya ialah menyuburkan Budaya Keselamatan Jalan Raya dan Kesedaran Mengenai Keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan semalam.

IEM mengesyorkan langkah itu berikutan kemalangan maut yang berlaku kebelakangan ini, yang mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak tentang keselamatan jalan raya.

Khamis lepas, seorang pemandu lori terbunuh, manakala dua lagi pengguna jalan raya cedera apabila sebuah lori terbabas dan merempuh penghadang di Lebuh Raya Pantai Timur menghala ke Bukit Besi.

Pada 2 April, enam sekeluarga terbunuh apabila MPV yang dinaiki mereka dirempuh sebuah treler kerana pemandunya hilang kawalan setelah tayar kenderaan berat itu pecah.

Tan berkata selain faktor kenderaan, kemalangan juga berlaku kerana beberapa faktor lain, termasuk reka bentuk jalan dan cara pengendalian pemandu.

Beliau juga mencadangkan agar kerajaan menggubal satu strategi pengurusan kelajuan kebangsaan dan melaksanakan audit jalan raya secara berkala di semua peringkat.

IEM bersedia untuk menyumbang kepakaran teknikal dan nasihat kepada pihak berkuasa dalam usaha menyemak semula garis panduan yang diperlukan bagi mencegah kemalangan serupa daripada berulang,” katanya. — Bernama

Advertisement