Anda di sini

Perancangan, hala tuju negeri perlu ambil kira pandangan rakyat

Advertisement
 Tuanku Muhriz berkenan menerima Teks Titah Ucapan yang dipersembahkan Menteri Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-13 semalam. — Gambar Bernama
PERSIDANGAN: Tuanku Muhriz berkenan menerima Teks Titah Ucapan yang dipersembahkan Menteri Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-13 semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mahu perancangan dan hala tuju negeri yang akan digubal kerajaan negeri perlu mengambil kira pandangan rakyat pelbagai peringkat, supaya lebih sempurna.

Baginda bertitah proses libat urus setiap peringkat masyarakat dalam penggubalan dasar perlu dijadikan keutamaan serta dilaksanakan dengan telus dan terbuka.

Beta berpandangan peraturan-peraturan sedia ada dan yang akan digubal hendaklah melalui proses analisis dan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan. Di samping itu, pelaksanaan amalan baik peraturan juga adalah merupakan salah satu kaedah bagi mencapai pertumbuhan produktiviti dan daya saing yang lebih tinggi.

Ditambah lagi dengan penghayatan terhadap aspek kecekapan, ketelusan, nilai dan etika dalam amalan baik peraturan, sudah pasti akan dapat membentuk senario tadbir urus yang mantap dan berkualiti,” titah baginda pada istiadat perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di sini, semalam.

Mengenai pembangunan saksama di Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz bertitah konsep itu perlulah dipraktikkan dengan kemudahan dan infrastruktur yang tersedia di bandar diperluaskan ke luar bandar.

Menurut baginda, di bawah Pelan Halatuju Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, pembangunan luar bandar akan dipacu seiring dengan kepesatan pembangunan kawasan bandar.

Kawasan-kawasan luar bandar wajar terlibat dalam pembangunan agropolis iaitu konsep pembangunan yang menerapkan elemen-elemen perbandaran ke sebuah penempatan desa... dengan cara itu, golongan produktif akan memilih kawasan luar bandar sebagai tempat kediaman untuk membina keluarga dan berkomuniti,” titah baginda.

Tuanku Muhriz juga menarik perhatian sidang dewan bahawa program seperti ‘Peluasan Kampung’ wajar dilaksanakan.

Baginda bertitah rancangan kerajaan negeri untuk memperkenalkan konsep sekolah magnet, iaitu sekolah yang menerapkan elemen seperti sekolah berasrama penuh di kawasan luar bandar adalah selari dengan agenda Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan untuk menjadikan sekolah di luar bandar sebagai sekolah pilihan masyarakat.

Untuk itu, Tuanku Muhriz bertitah dua buah sekolah telah dikenal pasti iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Pasoh 2, Jempol dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdullah Astana Raja di Rembau sebagai projek perintis. — Bernama

Mengenai aspek pengurusan kewangan kerajaan negeri, baginda menzahirkan rasa sukacita kerana berjaya mencatatkan lebihan dalam Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM14.24 juta bagi tahun 2016 dan telah mengekalkan rekod pencapaian pengiktirafan Sijil Audit Bersih selama 15 tahun berturut-turut.

Pada masa yang sama prestasi pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah peruntukkan negeri telah dapat mencapai lebih 93 peratus perbelanjaan dalam tahun 2016.

Ini membuktikan kerajaan di bawah pimpinan memanda beta tidak sahaja berusaha keras meningkatkan hasil negeri malahan amalan pengurusan kewangan serta sistem penyampaian yang cekap dan berintegriti kekal sebagai prinsip utama dalam menguruskan perbelanjaan negeri,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah bahawa kemajuan dan peningkatan ekonomi hendaklah juga disertai dengan kemampuan untuk menjamin bekalan makanan kepada rakyat.

Meskipun sumbangan sektor pertanian kepada KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) berada pada paras 10.6 peratus, sektor ini terus kekal penting dan signifikan dalam meningkatkan sekuriti makanan serta mencorakkan pembangunan luar bandar.

Malahan di saat negara berhadapan kemelut menangani kos sara hidup, sektor ini dilihat mampu untuk membantu meringankan beban rakyat,” titah baginda.  

Terdahulu, Tuanku Muhriz memeriksa kawalan kehormat pasukan Armor Diraja Kem Sunggala Port Dickson yang dibarisi 106 anggota di perkarangan Dewan Undangan Negeri. — Bernama

Advertisement