Anda di sini

Pengebom nekad Shebab giat sasar tentera Somalia

Advertisement
 Orang ramai meninjau keadaan di sekitar tempat kejadian serangan bom kereta berhampiran ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Mogadishu, kelmarin. — Gambar AFP
SERANGAN KEJAM: Orang ramai meninjau keadaan di sekitar tempat kejadian serangan bom kereta berhampiran ibu pejabat Kementerian Pertahanan di Mogadishu, kelmarin. — Gambar AFP

MOGADISHU: Seorang pengebom nekad meletupkan diri di dalam kem tentera Somalia di Mogadishu semalam, membunuh sekurang-kurangnya tiga askar selepas ketua tentera terselamat dalam serangan yang menyasari konvoinya, menurut sumber tentera.

Pengebom nekad itu dihalang di pintu masuk lalu meletupkan diri.

Tiga askar maut dan beberapa anggota lagi cedera,” kata askar Abdukadir Farah yang berada di dalam kem ketika serangan tersebut.

Farah berkata, ketika kejadian para pegawai tentera sedang bermesyuarat di kem tersebut, namun tidak pasti sama ada ketua tentera Ahmed Mohamed Jimale turut hadir.

Pegawai tentera Leftenan Kolonel Mohamed Abdirah-man berkata, penyerang menyamar sebagai askar untuk mengakses kem.

Serangan diakui kumpulan pelampau Shebab yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, yang mendakwa puluhan maut.

Kem latihan di selatan ibu negara itu adalah antara yang terbesar di Somalia.

Sementara itu dalam kejadian berasingan kelmarin, seorang pengebom nekad memandu kereta dipenuhi bom merempuh konvoi membawa Jimale, yang dilantik minggu lepas oleh Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed, yang dikenali sebagai Farmajo.

Shebab juga mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu dan menyatakan ketua tentera terbabit nyaris maut.

Seorang pegawai kanan tentera secara berasingan mengesahkan serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 kematian.

Farmajo yang mulai memegang jawatannya pada Februari, turut menamakan ketua polis dan perisikan baharu dalam ucapan pada Khamis di mana beliau mengumumkan perang baharu ke atas Shebab.

Saya mengumumkan situasi perang dalam negara ini dan menyeru orang awam agar bekerjasama dengan tentera negara untuk membantu melawan para teroris ini.

Kami amat bersimpati dengan mereka yang telah dihasut dan menawarkan para pejuang Shebab tempoh 60 hari untuk menyerah, melainkan mereka sanggup berdepan akibatnya,” katanya.

Sejurus selepas pelantikan Farmajo, Shebab mengancam akan melancarkan perang ganas terhadap pentadbiran baharunya.

Kerajaan pusat Somalia yang rapuh masih menerima sokongan komuniti antarabangsa dan lebih 22,000 anggota pengaman Kesatuan Afrika (AU) selepas hampir tiga dekad anarki dan perang saudara.

Semasa pelantikannya, Farmajo memberi amaran tiada penyelesaian segera bagi negara bermasalah itu yang juga di ambang kebuluran.

Semua masalah ini terhasil sepanjang 20 tahun konflik dan kemarau.

Satu penyelesaian akan memerlukan 20 tahun lagi,” katanya. — AFP

Advertisement