Anda di sini

Pelancong Perancis terbunuh di Turki

Advertisement

ISTANBUL: Seorang pelancong Perancis terbunuh manakala beberapa orang lagi tercedera kelmarin apabila belon udara panas yang dinaiki mereka melanggar wayar elektrik lalu terhempas di wilayah pelancongan terkenal Cappadocia di Turki.

Media Turki menyatakan mangsa sebagai seorang diplomat yang bekerja di konsulat Perancis di Istanbul namun butiran ini tidak dapat disahkan dengan segera oleh pegawai Turki.

Seramai 20 orang telah berada di dalam belon malang itu apabila ia melanggar wayar semasa perjalanan pada waktu pagi di atas wilayah Cappadocia di tengah Anatolia, satu tarikan utama pelancong.

Seorang rakyat Perancis terbunuh dan tujuh cedera termasuk tiga rakyat asing,” menurut kementerian pengangkutan dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa semua mangsa yang tercedera kini menerima rawatan.

Akhbar Hurriyet menyatakan kemalangan kelmarin berlaku ketika belon dikejutkan tiupan angin kuat yang tidak dijangkakan dan juruterbang tidak mampu menaikkan belon ke atas tepat pada masanya untuk mengelakkan wayar elektrik tersebut.

Seorang pemain bola keranjang profesional dari Colombia bagi salah satu pasukan utama di Turki adalah antara mangsa tercedera, menurut laporan.

Belon tersebut terhempas berhampiran bandar Ortahisar yang terkenal di kalangan pelancong asing.

Perjalanan dengan belon udara panas merupakan antara perniagaan utama di Cappadocia, sebuah wilayah yang terkenal dengan formasi batu yang unik, di mana puluhan belon terbang setiap pagi.

Namun terdapat kebimbangan mengenai keselamatan selepas satu rangkaian kemalangan.

Seorang lelaki Denmark terbunuh pada Februari lepas apabila terjatuh dari bakul belon ekoran masalah ketika pendaratan, manakala 49 lagi pelancong tercedera pada bulan lepas  dalam satu insiden sama. — AFP

Advertisement