Anda di sini

MTDC rancang luluskan RM170 juta dana tahun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), menyasarkan untuk meluluskan dana sebanyak RM170 juta kepada syarikat berasaskan teknologi tahun ini.

 Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata pembiayaan itu akan disalurkan menerusi enam dananya.

 Dana terbabit ialah Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) sebanyak RM40 juta, Dana Pengambilalihan Teknologi (TAF) (RM10 juta), Dana Permulaan Perniagaan (BSF) (RM15 juta), Dana Pertumbuhan Perniagaan (BGF) (RM15 juta), Dana Pengembangan Perniagaan Bumiputera (BEF) (RM75 juta) dan Dana Pembangunan Teknologi Halal (RM15 juta).

 “Jumlah dana yang diperuntukkan bagi setiap syarikat bergantung mengikut saiz projek, bermula dengan minimum RM500,000 hingga nilai maksimum RM15 juta, dengan nilai maksimum berbeza bagi setiap jenis dana,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucapan pada MTDC Road2 Funding di Bangi dekat sini semalam.

 Beliau berkata, dana tersebut akan disalurkan dalam kombinasi geran dan Tukar Nota Janji Hutang (CPN).

 Norhalim berkata peruntukan dana RM170 juta tersebut akan diagihkan dalam tempoh dua tahun, bergantung kepada jenis projek yang dijalankan setiap syarikat.

 “Setiap dana berkenaan akan diagihkan secara berperingkat kepada syarikat berdasarkan pencapaian mereka dalam sesuatu projek, dan ia tidak akan disalurkan selagi sasaran tersebut belum dicapai,” katanya.

 Pada masa ini, katanya kebanyakan syarikat yang memohon terlibat dalam perniagaan teknologi hijau seperti sisa komersial kepada tenaga, kitar semula, teknologi solar dan sistem penjimatan tenaga selain bidang bioteknologi serta elektrikal dan elektronik.

 Norhalim berkata Dana Pembangunan Teknologi Halal yang baharu diperkenalkan tahun ini juga bakal memperlihatkan penglibatan aktif syarikat pengeluar produk halal yang dieksport ke luar negara.

 “Sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diiktiraf lebih 50 agensi halal di seluruh dunia, dan melalui dana seperti ini sudah pasti banyak syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di luar negara,” katanya.

 Norhalim berkata tahun lepas, sebanyak RM145 juta dana diperuntukkan oleh kerajaan kepada MTDC yang memberi manfaat kepada 71 syarikat daripada pelbagai bidang berasaskan teknologi. — Bernama

Advertisement