Anda di sini

MINDEF sedia bawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir jika perlu

Advertisement
 Hishammuddin (dua kiri) beramah mesra dengan pegawai tinggi Military Private Police Arab Saudi, Kol Abdullah Saeed A. Nusair pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan). — Gambar Bernama
RAMAH MESRA: Hishammuddin (dua kiri) beramah mesra dengan pegawai tinggi Military Private Police Arab Saudi, Kol Abdullah Saeed A. Nusair pada majlis Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia di Wisma Perwira di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir sekiranya perlu susulan pengisytiharan darurat selama tiga bulan di negara itu ekoran serangan pengganas.

MINDEF ketika ini sedang memantau dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di bandar Tanta dan Iskandariah di Delta Nil, Mesir,” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Affendi Buang berkata TUDM akan menunggu arahan daripada kerajaan sebelum menghantar aset TUDM bagi mengambil rakyat Malaysia di Mesir.

Apabila TUDM menerima arahan untuk mengambil mereka (rakyat Malaysia) di Mesir, kami akan mengerakkan aset TUDM pada bila-bila masa sahaja. Selain itu, TUDM juga mempunyai dua buah pesawat C130 yang kini sememangnya ditempatkan di Pangkalan Udara Putera Sultan (PSAB), Arab Saudi,” katanya.

Serangan bom di dua buah gereja Kristian Koptik di Mesir, kelmarin, mengorbankan 47 orang dan mencederakan 137 orang.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata serangan yang dilancarkan kumpulan militan Daesh di negara berkenaan amat membimbangkan dan Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman itu.

Oleh itu, saya berharap orang ramai dapat membantu kami menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ dalam menyalurkan maklumat,” katanya.

Menurut Wisma Putra setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian serangan bom itu. — Bernama

Advertisement