Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah tuduhan merompak

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merompak seutas rantai emas kepunyaan seorang wanita warga emas.

Martin Reba, 43, dari Kampung Lusut Jaya 1 di sini didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh dituduh merompak secara ragut seutas rantai leher emas kepunyaan Teresa Lau, 61.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 10.30 pagi, pada 28 Mac lalu di Boulevard Trading Taman Tunku di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohamad I’zzat Wan Abdullah memohon ditetapkan satu tarikh baharu pengurusan kes memandangkan tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau turut memohon tertuduh ditawarkan jaminan tinggi iaitu RM20,000 berserta dua penjamin tempatan memandangkan kesalahan dilakukannya amat serius dan merupakan jenayah jalanan.

Hakim Steve Ritikos membenarkan permohonan itu dan menetapkan 25 April ini untuk pengurusan kes.

Manakala perbicaraan lanjut ditetapkan selama tiga hari iaitu dari 11 hingga 13 September depan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dibebas dengan jaminan RM15,000 berserta dua penjamin tempatan dan membayar deposit RM10,000 sementara menunggu tarikh perbicaraan tersebut.

Tertuduh turut dinasihati supaya mendapatkan khidmat peguam bela untuk mewakilinya dalam perbicaraan kes.

Advertisement