Anda di sini

KPT sasar lebih 7,000 graduan jadi usahawan

Advertisement

SINTOK: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan lima peratus atau 7,512 graduan menjadi usahawan menjelang tahun 2020.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan pencapaian tiga peratus yang dicapai kementerian ketika ini.

Katanya antara program yang diadakaan bagi mencapai tujuan itu ialah Program Peningkatan Kompetensi Tenaga Pengajar: Intepreneurial Educator Enhancement Program (3EP) Yang diadakan sejak tahun lalu.

Sejak program ini diadakan melalui dua siri kita sudah mendedahkan 60 peratus pelajar IPT dengan bidang keusahawanan secara berstruktur dan 2.5 peratus atau 3,755 graduan lepasan universiti awam telah menjadi usahawan dan kita sasarkan ia meningkat kepada lima peratus menjelang 2020,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Peningkatan Kompetensi Tenaga Pengajar:

Intepreneurial Educator Enhancement Program (3EP) di Universiti Utara Malaysia di sini semalam.

Mary Yap berkata, kolaborasi yang baik antara KPT dengan agensi berkaitan juga akan menjadi pemudah cara dan merancakkan lagi penyertaan dalam kalangan graduan melibatkan diri dalam bidang keusahawanan termasuk para mahasiswa dan siswi yang masih belajar.

Dalam masa sama kita mahu jumlah pelajar yang sedang belajar dan terbabit dalam bidang usahawan ditingkatkan kepada 15 peratus di mana setakat ini 3,420 mahasiswa dan siswi di seluruh negara telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan di atas talian sesuai dengan kedudukan mereka sebagai pelajar untuk membahagikan masa dan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, “ katanya.

Menurut Mary Yap, penganjuran program 3EP merupakan usaha KPT dibawah inisiatif Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020 yang memberi ruang dan peluang meningkatkan kompetensi keusahawanan kumpulan tenaga pengajar akademik yang bertindak sebagai kumpulan pemangkin untuk melibatkan pelajar dalam bidang tersebut.

Program yang melibatkan seramai 85 peserta terdiri dari tenaga pengajar itu didedahkan dengan pengajaran dalam pembelajaran keusahawanan yang lebih entrepreneurial, terkini dan efektif bagi menjadi mentor kepada perniagaan dan projek keusahawanan pelajar apabila pulang ke kampus masing-masing.

Ia juga program yang menerapkan elemen keusahawanan merentasi kurikulum dan bidang pengajian mereka bagi memenuhi ekspetasi penilaian pelajar IPT yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang di bawah Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu atau CGPA.

Modul telah disampaikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang keusahawanan daripada IPT tempatan dan antarabangsa sejak ia bermula pada 2 hingga 10 April. — Bernama

Advertisement