Anda di sini

Enam kakitangan imigresen didakwa terima rasuah

Advertisement
 Kesemua tertuduh meninggalkan kamar mahkamah dengan ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah di Kuching, semalam.
DIBAWA KELUAR: Kesemua tertuduh meninggalkan kamar mahkamah dengan ikat jamin selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah di Kuching, semalam.

KUCHING: Enam kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak semalam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan sekitar April tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Kesemua tertuduh membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong di Mahkamah Khas Rasuah, di sini semalam.

Agnes James Daim, 42, Gracy Bohan, 35, Emily Ngayan Beliang, 36, Norhaliza Hussein, 33, Benjamin Morsit, 33 dan Khairul Nizam Omar, 41 didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Gracy dan Norhaliza mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan manakala empat tertuduh lain masing-masing berdepan satu pertuduhan.

Sepanjang berlangsung pendakwaan, peguam Roger Chin, Hani Iryani Bonay, Francis Wee dan Osman Ibrahim mewakili Agnes, Gracy dan Norhaliza sementara Benjamin dan Khairul Nizam masing-masing tidak diwakili peguam.

Keenam-enam tertuduh dibenar diikat jamin mahkamah bernilai antara RM5,000 hingga RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan penjamin mestilah bekerja di Kuching dan mempunyai pendapatan minimum RM1,000 sebulan.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan 28 April bagi sebutan lanjut kes tersebut.

Bulan lalu, Mahkamah Majistret Kuching mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari terhadap 11 pegawai imigresen Sarawak bagi membantu siasatan kes berhubung dakwaan rasuah.

Dalam operasi yang dijalankan SPRM baru-baru ini, 11 pegawai imigresen yang terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita yang berusia antara 33 tahun dan 53 tahun itu ditahan kerana dipercayai menerima suapan antara RM200 hingga RM5,000 bagi melindungi pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit pekerjaan yang sah.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Advertisement