Anda di sini

BRN letak syarat rundingan damai Thai

Advertisement

Kumpulan bayangan pejuang Melayu tuntut komuniti antarabangsa terlibat

 Anggota tentera meninjau tempat kejadian satu letupan bom yang menumbangkan tiang elektrik di daerah Yaring, wilayah selatan bergolak Pattani pada Jumaat lalu. — Gambar Reuters
TERUS MELAWAN: Anggota tentera meninjau tempat kejadian satu letupan bom yang menumbangkan tiang elektrik di daerah Yaring, wilayah selatan bergolak Pattani pada Jumaat lalu. — Gambar Reuters

BANGKOK: Kumpulan pemberontak paling terkemuka di selatan Thailand menolak pelan damai tentera dalam satu kenyataan yang jarang dibuat semalam, menggariskan ketidakupayaan Bangkok untuk membuka rundingan dengan pejuang sebenar dalam konflik tersebut.

Wilayah sempadan paling selatan, yang diduduki Thailand lebih seratus tahun lalu, dibelenggu keganasan sejak lebih sedekad lalu ketika pejuang etnik Melayu menentang tentera Thai bagi mendapatkan lebih autonomi daripada negara majoriti Buddha itu.

Perjuangan mereka telah meragut lebih 6,800 nyawa, kebanyakannya orang awam, sejak 2004, dengan kedua-dua pihak dituduh mencabul hak asasi manusia dan kekejaman.

Kumpulan bayangan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dipercayai bertanggungjawab ke atas kebanyakan keganasan tersebut, walaupun ia tidak pernah mengaku dan menolak publisiti.

Ia semalam menggariskan penentangan terhadap pelan damai Bangkok, menyatakan ia harus melibatkan pihak ketiga (komuniti antarabangsa) sebagai saksi dan pemerhati, manakala perunding yang tidak berat sebelah harus mengetuai rundingan, bukannya tentera Thai.

Pada Februari, tentera dan sekumpulan perunding damai pejuang bersetuju untuk mewujudkan kelompok zon keselamatan, langkah kecil namun signifikan yang pertama dalam proses damai yang telah lama tertangguh.

Para jeneral Thailand yang merampas kuasa pada 2014, memuji perjanjian itu sebagai bukti proses damai yang diketuai tentera mempunyai kelebihan.

Namun ramai pakar sudah lama berpendapat satu-satunya kumpulan pejuang yang diterima Bangkok dalam rundingan tersebut, Mara Patani, tidak mempunyai kawalan ke atas para pejuang akar umbi.

Tentera Thailand mengang-gap perjuangan mereka sebagai isu keselamatan dalam negara semata-mata dan menolak bulat-bulat sebarang cadangan mengenai penglibatan luar daripada komuniti antarabangsa.

Terdapat rundingan di ibu negara Malaysia Kuala Lumpur dengan Mara Patani, namun ia berlarutan bertahun-tahun angkara pengeboman, serangan hendap dan pembunuhan yang berlaku hampir setiap hari di selatan Thailand dan sedekad ketidakstabilan politik di Bangkok.

Matthew Wheeler, pakar pemberontakan selatan bagi International Crisis Group, percaya BRN menilai proses damai semasa sebagai usaha yang dilaksanakan Bangkok dan Kuala Lumpur demi kepentingan peribadi.

Namun beliau turut menilai kenyataan tersebut mengingatkan kedua-dua pihak bahawa BRN sanggup berunding sekiranya syarat-syaratnya dipenuhi.

Ia tidak menolak dialog, walaupun ia menolak penglibatan dalam proses dialog semasa,” katanya.

Kenyataan BRN menyusuli hujung minggu yang dicemari pengeboman di seluruh selatan yang menyasari tiang elektrik.

Serangan itu mengakibatkan gangguan bekalan meluas namun tiada sebarang kecederaan atau kematian.

Ia juga dilihat sebagai peringatan daripada pejuang bahawa mereka masih boleh menimbulkan masalah di sebalik kehadiran kuat tentera dan sekatan undang-undang tentera yang tegas.

Pengeboman berlaku cuma beberapa jam selepas raja baharu Thailand Maha Vajiralongkorn meluluskan perlembagaan yang disokong tentera yang akan mengekang kuasa penggubal undang-undang yang dilantik dan mengukuhkan peranan tentera dalam kerajaan masa depan.

Wilayah selatan merupakan antara sejumlah kecil kawasan yang menolak perlembagaan itu apabila ia dipanjangkan dalam satu referendum pada tahun lepas. — AFP

Advertisement