Anda di sini

Akaun pelaburan patuh syariah terus berkembang

Advertisement

Hasil promosi aktif oleh pengawal selia serta bank sendiri

SINGAPURA: Pertumbuhan akaun pelaburan patuh Syariah di bank-bank Malaysia akan terus kukuh dalam tempoh tiga hingga lima tahun, penerusan trend yang bermula pada Julai 2015, hasil daripada promosi aktif oleh pengawal selia serta bank sendiri, kata Moody’s Investors Service semalam.

 Dalam satu kenyataan di sini Naib Presiden/Penganalisis Kanannya Simon Chen berkata bank-bank Malaysia mempunyai insentif yang kukuh dalam menggalakkan pertumbuhan seperti akaun pelaburan memandangkan ia memberikan faedah modal dan sumber pembiayaan tambahan untuk mengembangkan aset mereka.

 “Pada masa yang sama, wujud kebimbangan mengenai kedudukan mekanisme kerugian perkongsian dalam akaun yang belum diuji, walaupun pengawal selia sudah melaksanakan perlindungan untuk melindungi bank-bank,” kata Chen.

 Kesimpulan oleh Moody’s ini terkandung dalam laporan yang baru dikeluarkan mengenai bank-bank Islam di Malaysia: ‘Pertumbuhan Kukuh Akaun Pelaburan Menyokong Modal dan Pembiayaan Bank, Namun Mekanisme Perkongsian Risiko Masih Belum Diuji’.

 Pertumbuhan kukuh akaun pelaburan patuh Syariah di Malaysia bermula pada Julai 2015 berikutan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, katanya.

 Ia berkata akaun itu ditakrifkan dalam Akta seperti pihak di mana wang dibayar dan diterima untuk pelaburan mengikut prinsip-prinsip Syariah dan mengikut syarat yang menyatakan tidak ada kewajipan nyata atau tersirat untuk membayar balik wang sepenuhnya.

 Moody’s berkata pada Februari 2017, akaun-akaun ini telah berkembang kepada RM74.2 bilion, atau 13 peratus daripada jumlah liabiliti sistem perbankan, dan akan menjadi alat yang semakin penting dalam menguruskan perniagaan dan pertumbuhan pendapatan, selain kecukupan modal.

 Mengenai risiko, Moody’s berkata, isu utama ialah sama ada dan sejauh mana mekanisme kehilangan perkongsian dalam akaun antara bank dan pelabur akan dibayar dalam kes kerugian sebenar.

 Kerugian sebenar bagi menguji daya tahan rejim ini masih belum berlaku, katanya.

 Kebimbangan Moody’s disokong oleh pemerhatiannya bahawa bank-bank Islam dalam bidang kuasa Islam yang lain, terutama di beberapa negara Majlis Kerjasama Teluk, tidak melaksanakan penyerapan kehilangan secara kontrak bagi akaun pelaburan.

 Keadaan ini mungkin disebabkan jangkaan pelanggan dan bimbang merosakkan reputasi, dan boleh menyebabkan bank-bank Islam menanggung banyak, atau semua, risiko aset tersebut bagi pihak pemegang akaun pelaburan, katanya.

 Bagaimanapun Moody’s berkata ciri mitigasi bagi Malaysia ialah pengawal selia telah menyediakan perlindungan selamat bagi melindungi bank-bank, seperti pengasingan akaun pelaburan daripada deposit.

 Perlindungan tersebut akan meletakkan bankbank Malaysia pada landasan undang-undang yang kukuh bagi menegakkan prinsip perkongsian risiko di sebalik produk-produk pelaburan apabila kerugian sebenar timbul, katanya. — Bernama

Advertisement