Anda di sini

Tiada rakyat Malaysia jadi mangsa serangan guna trak di Stockholm: Wisma Putra

Advertisement

PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam serangan menggunakan trak di Stockholm, Sweden tengah hari kelmarin, kata Wisma Putra.

Dalam kenyataan yang mengesahkan tentang perkara itu di sini semalam, Kementerian Luar Malaysia berkata Kedutaan Malaysia di Karlavagen 37 juga menasihati rakyat negara ini supaya melaporkan kepadanya tentang keadaan mereka serta mengelak daripada berada di jalan raya yang sering mengalami kesibukan di Stockholm. 

Bagaimanapun, menurut kementerian itu, pihak berkuasa Stockholm belum mengumumkan kewarganegaraan mereka yang menjadi mangsa dalam serangan itu.

Stockholm diletakkan dalam kawalan ketat selepas sebuah trak yang dirampas, merempuh sebatang jalan raya dipenuhi pejalan kaki berhampiran Ahlens, sebuah pusat beli-belah utama di Stockholm.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya lima maut manakala 15 cedera dan seorang suspek ditangkap berhubung serangan itu, yang berlaku di Drottninggatan, di bahagian tengah Stockholm. 

Perdana Menteri Sweden Stefan Lofven menyifatkan kejadian itu sebagai  serangan ganas.

Serangan ini nampaknya menggunakan modus operandi sama seperti dalam serangan di Nice dan Berlin tahun lepas serta kejadian dahsyat di jambatan Westminster beberapa minggu lepas apabila kenderaan digunakan untuk melakukan serangan.

Orang ramai dinasihati supaya mengelak daripada berada di pusat bandar untuk sementara waktu,” kata Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra, bagi mendapatkan maklumat lanjut atau melaporkan sebarang perkara kecemasan, orang ramai boleh menghubungi kedutaan itu melalui talian +46 (8) 440 8400 atau ibu pejabatnya melalui talian 603-88874570 atau 60388892746. — Bernama

Advertisement