Anda di sini

Wilayah selatan Thai kembali bergolak

Advertisement
 Anggota pasukan keselamatan memeriksa tapak serangan di daerah Yaring di wilayah Pattani, selatan Thailand semalam. — Gambar Reuters
SIASATAN TERPERINCI: Anggota pasukan keselamatan memeriksa tapak serangan di daerah Yaring di wilayah Pattani, selatan Thailand semalam. — Gambar Reuters

BANGKOK: Polis semalam melaporkan 22 serangan, termasuk sekurang-kurangnya lima letupan bom kecil, di wilayah majoriti Islam di selatan Thailand ha-nya beberapa jam selepas Raja Maha Vajiralongkorn menandatangani perlembagaan baharu kelmarin sebagai satu langkah ke arah menamatkan pemerintahan tentera.

Tiada laporan segera diterima mengenai mangsa yang mati atau cedera dalam serangan tersebut di wilayah di mana pemberontakan pemisah Islam selama berdekad-dekad telah menyaksikan peningkatan kebelakangan ini. Beberapa bahagian di wilayah tersebut tidak menyokong perlembagaan baharu dalam pungutan suara yang diadakan pada tahun lepas.

“Insiden itu adalah untuk mewujudkan kekacauan. Mereka mahu memusnahkan kewibawaan kerajaan dan menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat,” kata Pramote Prom-in, jurucakap pasukan keselamatan tempatan.

Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab dan pa-sukan keselamatan berkata mereka tidak tahu siapa yang perlu dipersalahkan.

Raja Thailand menandatangani perlembagaan yang disokong oleh tentera untuk menjadikannya undang-undang kelmarin, satu langkah penting ke arah pilihan raya yang junta janji akan memulihkan demokrasi selepas kudeta ke-12 yang berjaya dalam tempoh lebih 80 tahun.

Perlembagaan baharu itu merupakan perlembagaan ke-20 bagi negara Asia Tenggara itu sejak monarki mutlak berakhir pada 1932 dan pengkritik berkata ia tetap akan memberi pengaruh yang kuat kepada golongan jeneral dalam politik Thai selama bertahun-tahun, jika tidak berdekad-dekad.

Pengundi di wilayah majoriti Islam di Thailand adalah antara segelintir orang yang menolak draf perlembagaan dalam referendum pada tahun lepas.

Pasukan keselamatan berkata lima bom meletup di atas tiang elektrik, menyebabkan bekalan elektrik terputus, dan beberapa insiden tayar terbakar telah berlaku.

Maklumat terperinci tidak segera diberikan bagi semua serangan. Kebanyakan sera-ngan yang selaras di wilayah itu adalah luar biasa.

Pemberontakan pemisah Melayu Islam di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat sudah meragut lebih 6,500 nyawa sejak ia meruncing pada 2004, menurut kumpulan pemantau bebas Deep South Watch.

Pada Isnin lepas, polis me-laporkan apa yang mereka gambarkan sebagai serangan terbesar oleh pemberontak di selatan sejak sekian lama. Mereka berkata kira-kira 30 pemberontak melepaskan lebih 500 tembakan ke dalam sebuah pondok polis.

Pada Februari lalu, kerajaan negara majoriti pengikut Buddha itu mencapai persetujuan dengan MARA Patani, sebuah kumpulan induk yang mendakwa ia bersuara untuk puak pemberontak, tetapi pemisah lain menolak-nya. — Reuters

Advertisement