Anda di sini

Remaja Indonesia cuba sogok PGA

Advertisement
 Syamsul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau semalam atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang anggota pasukan keselamatan Malaysia pada 27 Mac lepas. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Syamsul dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Tawau semalam atas tuduhan cuba memberi rasuah kepada seorang anggota pasukan keselamatan Malaysia pada 27 Mac lepas. — Gambar Bernama

TAWAU: Seorang remaja lelaki warga Indonesia hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menawarkan suapan RM25,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos PGA Wallace Bay, Pulau Sebatik, di sini, minggu lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Syamsul Mudassir, 18, selepas petuduhan dibacakan di hadapan Hakim Egusra Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, seorang pelajar madrasah di Indonesia, menawarkan suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap tiga lelaki warga Indonesia yang ditahan kerana cuba menyeludup tong gas yang merupakan barangan kawalan berjadual.

Syamsul didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 7.30 pagi di jeti Pos Kawalan Batalion 14 PGA Wallace Bay.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Rozanna Abd Hadi manakala tertuduh diwakili peguam Gani Zeliki.

Pada 27 Mac lepas, PGA Tawau menggagalkan satu cuba seludup keluar 307 tong gas memasak dipercayai ke Nunukan, Indonesia selepas menahan tiga lelaki dalam sebuah bot jongkong yang diiringi oleh sebuah bot laju pada pukul 2.30 pagi di perairan Sungai Serundung.

Susulan penahanan itu, tertuduh datang ke pos PGA itu pada pukul 7.15 pagi dan memperkenalkan diri sebagai anak kepada pemilik bot jongkong itu sebelum cuba memberi sogokan kepada anggota keselamatan yang bertugas. – BERNAMA

Advertisement