Anda di sini

Bekas peguam hartanah didakwa pecah amanah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas peguam hartanah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas lima pertuduhan pecah amanah di dalam urusan jual beli rumah dan tanah bernilai lebih RM1.1 juta.

Yap Ooi Lye, 37, mengaku tidak bersalah atas kelima-lima pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga keempat Yap didakwa sebagai seorang peguam bela dan peguam cara firma yang diamanahkan dengan penguasaan wang akaun pelanggan firma HSBC, telah melakukan pecah amanah terhadap wang pertaruhan keseluruhannya bernilai RM953,000.

Wang itu adalah bagi urusan membeli empat buah rumah di Taman Melur, Ampang; Taman Sri Murni Off Jalan Ipoh; Jalan Pandan Indah, Taman Pandan Indah dan Jalan Metro Perdana 8, Taman Usahawan Kepong.

Bagi pertuduhan kelima peguam wanita itu didakwa atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang pertaruhan bagi penjualan tanah bernilai RM234,000 di Taman Bukit Mewah, Kajang.

Dia didakwa melakukan kelima-lima perbuatan itu di Firma Tetuan Jenny Yap & Associates, 34-1, Jalan Metro Perdana 8, Taman Usahawan Kepong, di sini antara 11 Feb 2014 dan 29 Sept 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin menawarkan wang jaminan RM400,000 bagi kesemua pertuduhan mengambil kira jumlah kerugian yang terlibat bagi kelima-lima kes itu iaitu RM1,187,000.

Peguam P.G Cyril yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kurang dari RM100,000 bagi semua pertuduhan dengan alasan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan tetap selain berjanji untuk hadir ke mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Hasbullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh tidak membayar jaminan itu dan dihantar ke Penjara Kajang.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement