Anda di sini

Bas mini terlanggar periuk api di selatan Somalia, 14 maut

Advertisement

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 14 terbunuh dan beberapa lagi tercedera apabila bas mini yang mereka naiki terlanggar periuk api di selatan Somalia di wilayah Lower Shebelle kelmarin, kata polis.

“Seramai 14 orang awam, tujuh daripada mereka adalah wanita, terbunuh dalam letupan periuk api berhampiran Golweyn. Bas mini itu membawa seramai 21 penumpang ketika ia terlanggar periuk api dan kebanyakan mereka terbunuh dalam letupan itu,” pegawai polis tempatan Ibrahim Isack memberitahu AFP.

“Periuk api itu ditanam oleh pengganas yang kejam,” tegas Isack, merujuk kepada kumpulan Al-Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.

Bas itu dalam perjalanan dari pekan Bulomarer ke Marka ketika ia terlanggar periuk api berhampiran kampung Golweyn yang terletak kira-kira 120 kilometer dari bandar utama di sebuah kawasan yang direbutkan antara pasukan tentera kerajaan dan Kesatuan Afrika serta Shabaab.

“Saya melihat lebih 10 mayat termasuk tiga kanak-kanak serta tujuh wanita. Mayat mereka telah mus-nah akibat letupan,” Mohamed Abdulahi, seorang saksi dari sebuah kampung berhampiran memberitahu AFP melalui panggilan telefon.

“Insiden ini adalah menakutkan dan semua orang berasa terkejut. Orang awam yang tidak berdosa diletupkan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka,” kata Abdulahi Moalim Abdi, seorang warga tua dari Golweyn.

Letupan itu berlaku beberapa jam selepas presiden baharu Somalia Presiden Mohamed Abdullahi Mohamed mengumumkan peperangan baharu terhadap kumpulan Islamis yang berterusan melancarkan serangan di kawasan luar bandar dan bandar utama Mogadishu.

“Saya mengumumkan satu perintah peperangan di negara ini dan menyeru kepada orang awam agar berada bersama dengan pasukan tentera negara bagi membantu menentang pengganas,” presiden, lebih dikenali dengan nama gelarannya Farmajo, memberitahu satu sidang media.

Farmajo, yang menjawat jawatannya pada Februari, kelmarin menggantikan ketua pasukan tentera, polis dan perisikan negara.

“Kami berasa sangat sedih bagi golongan belia yang telah diperdayakan dan kami memberi kata dua bagi tempoh 69 hari kepada pejuang Shabaab menyerah diri atau mereka akan berdepan dengan akibatnya,” tegas beliau.

“Saya turut memberi peng-ampunan kepada belia yang telah diperdayakan dengan idea ekstremis yang salah,” katanya. — AFP

Advertisement