Anda di sini

UK, Malaysia akan tingkat hubungan ekonomi dua hala selepas Brexit

Advertisement

KUALA LUMPUR: United Kingdom (UK) dan Malaysia akan terus meningkatkan lagi hubungan ekonomi dua hala walaupun selepas Britain keluar secara rasmi daripada Kesatuan Eropah (Brexit).

Setiausaha Perdagangan Antarabangsa UK Dr Liam Fox berkata negara itu mengesahkan komitmennya untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan sebagai sebahagian daripada usaha gigihnya untuk mendekati rakan dagangnya dan memberi jaminan bahawa UK bersedia menerima perniagaan.

Beliau juga maklum tentang pelaburan besar syarikat Malaysia di UK termasuk dalam projek Stesen Jana Kuasa Battersea yang dilaksanakan oleh SP Setia, Sime Darby dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, serta kehadiran banyak lagi syarikat utama seperti EcoWorld, Khazanah Nasional dan lain-lain.

Fox yang sedang dalam rangka lawatan serantau merangkumi Kuala Lumpur, Manila dan Jakarta berkata demikian kepada pemberita selepas sesi ceramah perdagangan di Menara MITI, di sini, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Vicky Treadell dan Wakil Perdagangan Perdana Menteri UK ke Malaysia Sir Richard Graham.

Sementara itu, Mustapa berkata pemaju hartanah Malaysia di UK tidak melihat sebarang kesan negatif selepas pungutan suara Brexit pada Oktober tahun lepas.

Beliau berkata jualan meningkat sejak pungutan suara tersebut.

Malaysia komited untuk mengukuhkan lagi hubungan yang telah sedia kukuh dengan UK. Hubungan Malaysia-UK sentiasa berkembang hasil daripada kejayaan berterusan kedua-dua negara dalam banyak sektor,” katanya.

Dalam pendidikan, Malaysia merupakan penyumbang terbesar pelajar luar di UK selepas China dan India manakala UK memiliki lima universiti di Malaysia, serta lebih seratus institut pengajian tinggi menawarkan kelayakan UK, katanya.

Beliau juga menggesa lebih banyak penyertaan daripada profesional Malaysia di sini dan di UK untuk mendapat manfaat daripada kepakaran UK dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, pengangkutan, penyelidikan saintifk, teknologi angkasa, sukan, kewangan dan tenaga.

Dalam tempoh 30 tahun, UK telah melabur lebih 20 bilion pounds di Malaysia (1 pound=RM5.5098).

UK ketika ini merupakan negara dagangan keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah dengan perdagangan barangan dan perkhidmatan bernilai 3.34 bilion pounds setahun. — Bernama

Advertisement