Anda di sini

Pengusaha kebun haram didakwa beri rasuah kepada penguat kuasa

Advertisement

KUANTAN: Dua pengusaha kebun secara haram di Cameron Highlands mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kuantan semalam atas tuduhan menawar dan memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi melindungi kegiatan haram mereka dua tahun lalu.

Tertuduh, Law Hee Thiam, 38, dan Chan Kok Fong, 40, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan berasingan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan Law didakwa memberi suapan bernilai RM15,000 kepada seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sanifah Yusof sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Gunung Siku, Cameron Highlands.

Chan pula didakwa atas tiga pertuduhan menawar dan memberi suapan berjumlah RM24,000 juga kepada Sanifah sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap kebun yang diusahakan secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Highlands.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan antara 8 April 2015 dan 19 Mei 2015 di Coffee House Hotel Heritage, Tanah Rata, Cameron Highlands.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan Law diikat jamin RM5,000 manakala Chan RM10,000  masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement