Anda di sini

Pemandu treler didakwa sebab kematian enam sekeluarga

Advertisement

Mereka dalam perjalanan ke Bidor untuk ziarahi kubur nenek moyang

 Muhammad Syahrul (belakang) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Kuala Kubu, semalam. — Gambar Bernama
MEMANDU LAJU: Muhammad Syahrul (belakang) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Kuala Kubu, semalam. — Gambar Bernama

KUALA KUBU BHARU: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memandu laju sehingga menyebabkan kematian enam sekeluarga, berhampiran susur keluar Tanjung Malim, Perak, Ahad lepas.

Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, yang memakai baju-T lengan panjang biru dan seluar jeans, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakandi hadapan Hakim Zulhelmy Hasan yang bertindak sebagai majistret.

Ketika ditanya jurubahasa sama ada tertuduh faham pertuduhan itu, lelaki itu yang kelihatan tenang menganggukkan kepalanya dan berkata “tak mengaku”.

Tertuduh didakwa sebagai seorang pemandu treler nombor pendaftaran KDY 1314 telah memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara laju sehingga menyebabkan kematian enam sekeluarga.

Mereka ialah Lam Wai Loon, 46, pemandu kenderaan; isterinya, Wong Cheq Lee, 53; dua anak lelaki mereka, Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Hong, 13; adik lelaki Wai Loon, Lam Wei Keat, 35; serta bapanya, Lam Leong Choy, 76.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di Kilometer 403.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara, pada 7.46 pagi, 2 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amin Azmi menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah.

Zulhelmy membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan perbicaraan selama tiga hari bermula 21 Ogos ini.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian itu, treler yang dipandu tertuduh didakwa hilang kawalan dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki enam sekeluarga itu yang dipercayai menuju ke Bidor, Perak bagi menziarahi kubur nenek moyang mereka.

Menurut seorang anggota keluarga mangsa yang enggan dikenali, keluarga itu yang tinggal di ibu negara sepatutnya menyertai Festival Cheng Beng (tradisi menziarahi kubur nenek moyang) bersama saudara-mara. — Bernama

Advertisement