Anda di sini

MyCARE hantar misi kemanusiaan ke Somalia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) akan menghantar misi kemanusiaan ke Somalia bagi membantu rakyat di negara tersebut yang menghadapi krisis kebuluran.

Pengerusinya Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor berkata misi selama tujuh hari bermula 26 April itu akan membawa bantuan bernilai RM500,000 bagi membantu kira-kira 12,000 rakyat di negara itu. 

Kita akan menghantar lapan orang sukarelawan termasuk pegawai MyCARE, tiga doktor perubatan dan jurutera ke  beberapa daerah di Hargeisa, Somaliland, untuk menghantar bantuan keperluan makanan, bekalan air bersih, ubat-ubatan dan keperluan diri kanak-kanak.

Selain itu, delegasi ini juga akan meninjau sendiri keadaan di sana sambil memantau proses penyaluran bantuan dan mengenal pasti projek jangka panjang yang boleh dilaksanakan sama ada untuk pendidikan dan pembangunan lain di sana,” katanya. 

Beliau bercakap kepada pemberita bersempena pelancaran misi kemanusiaan ke Somalia di sini, semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Hafidzi berharap misi tersebut menjadi permulaan bagi MyCARE untuk meneruskan bantuan lain di negara itu pada masa akan datang.

Meskipun misi ini tidak dapat membantu kesemua rakyat di negara itu, namun ini adalah permulaan bagi MyCARE menjalankan bantuan di sana sebab ini kali pertama kami akan ke sana. “Kita tak mahu rakyat Somalia terus menjadi korban krisis kebuluran. Sejak 1992, ini kali ketiga negara itu menghadapi krisis sebegini dan lebih 560,000 rakyat negara itu terkorban kerana kebuluran,” katanya.

Hafidzi berkata MyCARE akan bekerjasama dengan dua badan bukan kerajaan, KLGhaith Berhad dan African Relief Committee. — Bernama

Advertisement