Anda di sini

Majikan wajib mohon pekerja secara dalam talian mulai 1 April

Advertisement

Pastikan majikan tidak ditipu ejen dan elak ejen ambil kesempatan

 Ahmad Zahid (kiri) melancarkan kad senjata pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Ahmad Zahid (kiri) melancarkan kad senjata pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Semua majikan diwajibkan membuat permohonan mendapatkan pekerja asing secara dalam talian mulai 1 April, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata peraturan itu terpakai bagi permohonan pekerja asing dari semua negara sumber kecuali permohonan pembantu rumah asing.

Beliau berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan majikan tidak tertipu oleh ejen dan membayar kos berlebihan serta mengelakkan ejen mengambil kesempatan terhadap kesempitan pekerja asing.

Keputusan mewajibkan permohonan secara dalam talian adalah demi kebaikan semua agar KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Imigresen tidak terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KDN, di sini semalam.

Terdahulu dalam ucapannya semasa perhimpunan itu, Ahmad Zahid berkata permohonan sebelum ini boleh dibuat secara manual atau melalui ejen yang mengutip bayaran perkhidmatan tidak munasabah kepada bakal pekerja.

Ahmad Zahid menyelar ejen yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan pekerja asing.

Yang mahu kerja di sini orang susah, mereka bayar puluhan ribu ringgit, jual rumah, jual hartanah, ambil pinjaman dengan ah long di negara mereka.

Bila (mereka) berlambak di sini, tiada majikan ambil mereka bekerja dan akhirnya harta mereka dilelong, anak isteri yang tinggal susah dikejar oleh ah long,” katanya. — Bernama

Advertisement