Anda di sini

Karnival Skills Malaysia mampu lonjak pertumbuhan ekonomi negara

Advertisement

ALOR SETAR: Karnival Skills Malaysia dilihat mampu melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara apabila dapat menarik minat pelabur asing yang yakin dengan kemampuan dan kebolehan yang mampu ditawarkan rakyat negara ini melalui pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT).

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia Nidzam Kamarulzaman berkata menerusi karnival itu, masyarakat dapat melihat tentang kepentingan bidang kemahiran TVET ke arah mencapai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Kita lihat negara-negara maju seperti Korea dan Jepun, kemahiran pekerja mereka berada pada tahap 40 hingga 50 peratus sedangkan Malaysia masih berada di tahap rendah iaitu sekitar 28 peratus. Melalui karnival ini, ia dilihat mampu membantu meningkatkan lagi peratus pekerja mahir pada masa akan datang.

Karnival ini juga dilihat akan dapat memberi peluang kepada semua  terutama golongan muda mempelajari pelbagai bidang kemahiran di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Skills Malaysia Zon Utara 2017 di pekarangan Stadium Darul Aman, semalam.

Tambahnya, bidang kemahiran itu memainkan peranan penting memandangkan tenaga kerja mahir dan terlatih merupakan aset kepada negara yang sedang mengalami transformasi model ekonomi baharu.

Beliau berkata lebih 40 institusi latihan kemahiran awam dan swasta dan agensi kerajaan turut mengambil bahagian dalam karnival itu.

Semua agensi terbabit turut mengadakan pameran dan demonstrasi latihan kemahiran bagi memberi pendedahan kepada guru-guru bimbingan dan kaunseling  pelajar, ibu bapa, lepasan sekolah, pusat-pusat latihan kemahiran dan pengajian tinggi.

Kita juga ingin orang ramai terutama pelajar-pelajar lepasan sekolah tahu bahawa selain memilih untuk memasuki universiti, mereka boleh menyertai GIATMARA  dan Institut Kemahiran MARA (IKM) bagi mendapatkan kemahiran dan peluang pekerjaan yang lebih baik melalui pendidikan TVET,” katanya.

Jenama Skills Malaysia telah diumumkan Perdana Menteri pada 11 Januari 2011 sebagai satu daripada projek permulaan (EPP) di bawah program transformasi ekonomi.

Karnival empat hari yang akan berakhir 9 April ini menawarkan pelbagai aktiviti kemahiran termasuk demonstrasi membaik pulih enjin bot, servis motosikal dan kemahiran-kemahiran yang lain. — Bernama

Advertisement